X

Kindly register in order to view this article
!

Empangan Kenyir: Ini fakta menarik anda perlu tahu!

Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur pada masa ini tidak menghalang pelancong untuk ke Tasik Kenyir bagi menikmati keindahan alam semula jadi dan membeli-belah. Kelihatan sebuah bot yang membawa penumpang untuk aktiviti mengelilingi pulau (island-hopping) serta meneroka lokasi-lokasi menarik seperti Taman Rama-Rama, Taman Herba dan Taman Orkid di Tasik Kenyir. - Foto Bernama
A
A

KUALA BERANG - Sejak siapnya Empangan Kenyir pada 1985, kejadian banjir besar di negeri Terengganu, khususnya di sepanjang Sungai Terengganu kini hanya tersimpan dalam lipatan sejarah.

Kawasan hulu Sungai Terengganu yang sering dilanda banjir besar setiap kali musim tengkujuh seperti Kampung Dusun, Kampung Temir, Kampung Pasir Nering dan Kampung Buluh kini tidak lagi mengalaminya setelah terbinanya Empangan Kenyir, kata Ketua (Stesen-Stesen Janaelektrik Kenyir - SSJK) Bahagian Penjanaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) Mustaphakamal Yaacob.

“Air di Tasik Kenyir ini hanya keluar melalui Sungai Terengganu sahaja, tiada saluran lain selain sungai ini.

“Ini adalah fakta yang perlu difahami oleh orang ramai di mana 80 peratus aliran Sungai Terengganu adalah berasal daripada turbin hidro di Empangan Kenyir yang menjana tenaga elektrik di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM)," katanya kepada media yang mengikuti lawatan ke Stesen-Stesen Janaelektrik Kenyir (SSJK) di sini baru-baru ini.

Menurutnya Empangan Kenyir berupaya menakung air dalam jumlah yang banyak dan mampu membekalkan aliran air yang cukup ke Sungai Terengganu.

Beliau berkata, pada musim tengkujuh 2014, misalnya, walaupun Tasik Kenyir merekodkan kenaikan air melepasi paras limpahan iaitu 148.08 (tertinggi pernah direkodkan), bencana banjir tidak berlaku.

Ini katanya, dapat dielakkan melalui binaan struktur Alurlimpah Tidak Berpintu di Empangan Kenyir yang berfungsi mengawal limpahan air tasik ke Sungai Terengganu.

Mustaphakamal berkata, banjir yang berlaku di negeri itu sebelum ini, termasuk yang terburuk pada 2014 bukan berpunca daripada kegagalan pengurusan SSJK tetapi berikutan taburan hujan yang tinggi di beberapa kawasan lain di sepanjang Sungai Terengganu.

Beberapa orang penduduk kampung sekitar kawasan Tasik Kenyir yang ditemui Bernama menyifatkan banjir yang berlaku saban tahun di beberapa kawasan akan menjadi lebih buruk tanpa adanya tasik dan Empangan Kenyir.

"Sebelum wujudnya Empangan Kenyir, negeri Terengganu khususnya sekitar Sungai Terengganu menerima nasib banjir tiap-tiap tahun.

“Sekarang ini kita dah gembira sebab dengan adanya tasik dan empangan ini, maka air Sungai Terengganu tidak lagi melimpah sebab dikawal oleh Tasik Kenyir," jelas Mohamad Che Embong yang merupakan antara penduduk di Kampung Pulau Manis Serada.

Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur pada masa ini tidak menghalang pelancong untuk ke Tasik Kenyir bagi menikmati keindahan alam semula jadi dan membeli-belah. Kelihatan sebahagian kenderaan pengunjung yang di parkir di Pengkalan Gawi. - Foto Bernama
Musim tengkujuh yang melanda Pantai Timur pada masa ini tidak menghalang pelancong untuk ke Tasik Kenyir bagi menikmati keindahan alam semula jadi dan membeli-belah. Kelihatan sebahagian kenderaan pengunjung yang di parkir di Pengkalan Gawi. - Foto Bernama

Zakiah Hussin, pekerja Rumah Bot di Tasik Kenyir pula berkata, dia tidak berasa risau walaupun musim tengkujuh tiba di negeri itu kerana meskipun taburan hujan adalah lebih tinggi, empangan yang diawasi pihak TNB sehingga kini tidak pernah memberi masalah kepadanya.

Malah, Zakiah berkata, dia berasa lebih selamat kerana empangan Kenyir berfungsi menjadi tebatan banjir, sekali gus mengurangkan risiko banjir.

Sementara itu, Mustaphakamal berkata, bagi menghadapi Monsun Timur Laut di negeri Terengganu yang sudah pun bermula sejak akhir Oktober, pihaknya sudah mengambil langkah berjaga-jaga antaranya memastikan aktiviti penyelenggaraan dilakukan pada waktu yang ditetapkan.

“Paras air di Tasik Kenyir juga diturunkan sedalam kira-kira 10 meter daripada paras bekalan penuh, bagi menerima taburan hujan yang lebih tinggi ketika musim monsun (tengkujuh).

"Dari segi penyelenggaraan, kita (TNB) akan pastikan senggaraan unit-unit kita berakhir sebelum bulan November.

"Kita juga akan pastikan supaya tempat saluran air masuk dan kawasan hilir empangan bersih daripada sebarang sampah kerana kita nak pastikan dari segi penjanaan empat buah unit turbin di Empangan Kenyir ini tidak menghadapi masalah operasi sepanjang musim monsun," jelasnya.

Tasik Kenyir yang terletak di daerah Hulu Terengganu, Terengganu mempunyai keluasan 36,900 hektar dengan luas kawasan tadahan 260,000 hektar dan paras bekalan air penuh pada ketinggian 145 meter. Sebagai perbandingan, luas kawasan Kuala Lumpur adalah hanya 24,400 hektar.

SJSM di Tasik Kenyir adalah sebahagian daripada skim yang membentuk SSJK yang juga melibatkan Stesen Janakuasa Hulu Terengganu (SJHT), merangkumi Tasik Puah seluas 6,980 hektar dan Tasik Tembat (218 hektar).

"SJSM mempunyai empat unit turbin hidro yang menjana 100 megawatt (MW) setiap satu menjadikan keseluruhan tenaga elektrik yang dijana sebanyak 400 MW.

“Sementara Empangan Puah mempunyai dua turbin hidro yang menjana sejumlah 250 MW dengan 125 MW bagi setiap unit dan Empangan Tembat menjana 15 MW melalui dua turbin hidro dengan 7.5 MW setiap unit,” jelasnya.

Selain menjana tenaga elektrik dan tebatan banjir, Tasik Kenyir merupakan sumber bekalan air minuman dan pertanian di Terengganu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!