Krisis kepercayaan rakyat lebih besar berbanding krisis parti

Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dihadiri hampir 3,000 penyokong di Hotel Renaissance di sini hari ini. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dihadiri hampir 3,000 penyokong di Hotel Renaissance di sini hari ini. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Krisis paling besar yang perlu dihadapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukanlah kemelut dalaman parti sebaliknya adalah untuk berdepan keyakinan rakyat.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhamad Hilman Idham berkata, Kongres Nasional PKR 2019 yang berakhir hari ini tidak boleh menafikan krisis kepimpinan yang serius dalam PKR.

Oleh demikian, beliau menyeru semua ahli dan pemimpin kembali kepada prinsip perjuangan asal parti dalam mendepani krisis tersebut.

"Islam sendiri ajar kita bahawa apabila berdepan dengan masalah atau krisis, maka kita disarankan untuk kembali semula kepada pegangan dan ajaran kita.

"Maka kita harus melihat semula sejarah matlamat dan misi perjuangan PKR supaya parti kita akan terus menjadi relevan dan menjadi harapan rakyat.

"Justeru itu janganlah kita cepat kecewa, hilang semangat dan gundah gulana dengan apa yang berlaku dalam beberapa hari ini, saya percaya sebesar mana krisis yang dihadapi dalam PKR sebenarnya krisis yang paling besar yang harus kita depani adalah keyakinan rakyat kepada PKR," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dihadiri hampir 3,000 penyokong di Hotel Renaissance di sini hari ini.

Turut hadir tiga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Ali Biju; ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, R Sivarasa; Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu berkata, majlis yang diadakan itu bukan bertujuan menyokong pemimpin tertentu sebaliknya mengingatkan kepada ahli kembali kepada perjuangan asal.

"Pada hari ini kita bersama-sama dalam dewan ini bukan untuk kita menunjukkan ketaksuban kepada mana-mana pemimpin tetapi untuk kita kembali perjuangan parti.

"Saya bersetuju dengan kenyataan Tian Chua tak perlu angkat plakad untuk tunjukkan kesetiaan kita tetapi cukuplah jika kita setia kepada perjuangan dan kita laksanakannya demi rakyat.

"Jika prinsip ini dipegang, saya yakin PKR akan kekal relevan bukan sahaja hari ini atau esok tetapi 20 tahun atau 50 tahun lagi, PKR akan terus ke landasannya," katanya.