X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir: Bomba siap siaga hadapi gelombang seterusnya

Mohamad Shoki ketika memeriksa perbarisan pada Majlis Pemakaian Tanda Pangkat Bomba di Balai Bomba Kerteh hari ini.
A
A

KEMAMAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bersiap sedia menghadapi gelombang seterusnya banjir yang diramalkan mungkin berlaku akhir Disember ini.

Pengarahnya, Mohamad Shoki Hamzah berkata, setakat ini JBPM Terengganu mempunyai kekuatan seramai 640 anggota untuk digerakkan bila-bila masa bagi membantu mangsa banjir.

Menurutnya, selain anggota, pihak bomba juga memiliki 45 buah bot dan 12 buah lori untuk mengangkut mangsa banjir dari kampung-kampung yang terlibat banjir ke tempat pusat pemindahan sementara (PPS).

"JBPM Terengganu sentiasa bersiap sedia untuk hadir di peringkat permulaan, semasa dan selepas berlakunya bencana untuk memantau dan membantu menyelamatkan mangsa banjir," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga ada memohon bantuan kekuatan seperti dari Putrajaya serta Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai sebagai persediaan.

"Sebelum ini terdapat daerah yang telah mengalami banjir beberapa kali namun berdasarkan ramalan gelombang seterusnya diramal berlaku penghujung Disember," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pemakaian Tanda Pangkat Bomba KB 22 (KUP), Pegawai Kanan Bomba 1 Gred KB 24 dan Pegawai Kanan Bomba 2 KB 22 bagi Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu di Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kerteh di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Bomba Terengganu, Sharikan Bustaman; Penolong Pengarah Bahagian Operasi Penguasa Kanan Bomba 2, Mohd Salahudin Isa serta penolong pengarah bahagian, ketua-ketua zon, ketua-ketua balai dan pegawai kanan jabatan.

Terdahulu fasa atau gelombang ketiga banjir di Terengganu telah bermula pada 29 November lalu dan berakhir pada 7 Disember.

Gelombang pertama banjir berlaku di Hulu Terengganu pada pada 13 hingga 14 November lalu melibatkan 33 mangsa dari Kampung Cheting.

Fasa kedua pula berlaku di daerah Marang pada 22 hingga 23 November (35 mangsa) dan daerah Kemaman pada 22 hingga 24 November (304 mangsa).