Kes Rafizi: Tommy Thomas perlu beri penjelasan

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Mohamed Haniff Khatri Abdulla
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Negara, Tommy Thomas tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap pegawainya yang telah memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Peguam terkemuka, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, kenyataan itu tidak wajar sebelum siasatan terperinci dilakukan berhubung bagaimana rayuan itu difailkan terlebih dahulu.

“Kenyataan awam ini memberi persepsi salah kepada masyarakat seolah-olah pegawai di Jabatan Peguam Negara dengan sengaja melakukan sabotaj terhadap keputusan Tommy.

“Sedangkan pada hakikatnya kenyataan gopoh dan emosi seperti yang dibuat Tommy itu dengan sendirinya boleh ditafsirkan sebagai percubaan seorang ketua untuk mensabotaj agensinya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Thommy juga perlu memberi penjelasan munasabah apabila mengaitkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun dalam kes berkenaan.

“Tommy tanpa sebab telah mengheret nama baik seorang pegawai awam dalam pertelingkahan isu rayuan kes Rafizi yang tiada kaitan langsung dengan SPR.

“Sebagai Peguam Negara, Tommy adalah pegawai utama yang wajib menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) dengan tidak mencemarkan nama baik dan tugasan betul mana-mana institusi awam lain seperti SPR, mahupun penjawat awam seperti Azhar.

“Justeru beliau perlu memberi penjelasan munasabah berhubung perkara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Azhar menegaskan bahawa beliau tidak pernah berbincang dengan Tommy berhubung isu rayuan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Katanya, SPR hanya berbincang dengan Peguam Negara berhubung kes Naib Presiden PKR, Tian Chua yang mana SPR merupakan pihak yang terlibat dan mempunyai kepentingan langsung dalam kes itu.

Terdahulu, media melaporkan, Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan terhadap pembebasan Rafizi daripada tuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Memetik laporan Free Malaysia Today, peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustpha berkata, rayuan tersebut dimaklumkan kepada pasukan pembelaan melalui emel daripada pendaftar Mahkamah Rayuan dan menetapkan 9 Mac sebagai tarikh sebutan rayuan.

Sebelum ini, pada 15 November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Rafizi terhadap hukuman penjara 30 bulan membabitkan kes mengikut Bafia selepas didapati bersalah mendedahkan empat akaun bank berkaitan NFC dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.