'Lebih 80 peratus perwakilan setia bersama PKR'

Anwar ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di MITC di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anwar ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di MITC di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2019 disifatkan memberi mesej jelas mengenai kesetiaan ahli-ahli terhadap parti.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, 80 peratus perwakilan masih setia bersama parti walaupun media sebelum ini melaporkan sejumlah 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dari pasukan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan sesi perbahasan kongres di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, semalam.

Menurutnya, kongres itu juga turut menyampaikan ketegasan supaya pemimpin perlu bertindak bagi memastikan ahli-ahli patuh kepada disiplin parti sambil memberitahu, mereka yang keluar dewan perlu diajak kembali bagi memastikan kekuatan parti.

"Katalah dalam 10 hingga 12 peratus yang tidak mahu hadir, itu kita patut dekati mereka.

"Beritahu kepada mereka bahawa, ini bukan disiplin dalam jamaah melainkan kalau mereka fikir betul-betul tak sesuai dengan citarasa dan dasar perjuangan. Itu kita terima apa jua keputusan mereka," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan kongres berkenaan di MITC di sini.

Anwar yang dilihat mengambil pendekatan berlembut dan bersederhana dalam ucapan penggulungan kongres yang berakhir hari ini berkata, sebarang perbezaan pendapat perlu dalam suasana kekeluargaan.

Dalam masa sama, Anwar turut mengulangi ketegasan beliau dan parti terhadap isu rasuah serta salah guna kuasa membabitkan ahli-ahli parti.

Kenyataan beliau berkemungkinan merujuk kepada pemecatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Zakaria Abdul Hamid dan ahli PKR Pahang, Ismail Dulhadi oleh lembaga disiplin parti dua minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Bila ahli-ahli majlis mesyuarat baca surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tindakan dituntut yang lebih keras.

"Kita nak pecat seorang ahli pimpinan tidak mudah. Dalam kes ni, surat dah ada perakuan SPRM.

"Kita mesti tegas dalam rasuah, salah guna kuasa. Perkara lain boleh sabar tapi rasuah, tidak boleh sabar sama sekali," katanya.

Berhubung kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar yang disebut beliau pada ucapan dasar semalam, beliau mengakui ditegur mengenai perkara tersebut meskipun tidak berniat menyinggung mana-mana pihak.

Katanya, kisah sejarah Melaka itu mempunyai pengajaran tertentu termasuk bahaya fitnah dan khianat terhadap negara.

"Kalau tersinggung, baik untuk kita rasa tersinggung untuk membawa perubahan yang sebaiknya," katanya.

Sementara itu, Anwar turut berpesan kepada pimpinan PKR Sarawak supaya memberi tumpuan terhadap pembangunan dan nasib rakyat serta tidak diheret dengan pertelingkahan dalaman parti.

Menurutnya, tumpuan juga perlu diberi perhatian untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) dengan membangkitkan isu rakyat.

"Pimpinan negeri Sarawak mesti mewakili pandangan semua cabang, baru boleh hadapi pilihan raya dengan satu kekuatan.

"Saya dan pimpinan mulai Januari ini akan memberi perhatian supaya mempermudahkan dengan (kekuatan) jentera dan kekuatan negeri Sarawak," katanya.