Kehadiran KUFC naikkan imej bola sepak Kelantan: Yusry Che Lah

Yusri Che Lah
Yusri Che Lah
A
A
A

KETUA Jurulatih The Red Warriors (TRW), Yusri Che Lah berkata, kehadiran Kelantan United (KUFC) pada saingan Liga Premier musim hadapan sebagai sesuatu yang positif kepada kemajuan bola sepak Kelantan.

Beliau berkata, penyokong bola sepak negeri ini tidak seharusnya melihat kehadiran KUFC sebagai musuh tidak baik kepada pasukannya.

"Ia satu saingan yang cukup baik terutamanya dari segi kejohanan dan kebaikan kepada rakyat Kelantan sendiri khususnya kepada pemain muda kerana mereka mempunyai dua pasukan untuk diangkat bermain di peringkat yang tinggi.

"Saya berharap kedua-dua pasukan tidak menjadi musuh yang tidak baik. Pada pandangan saya, ia cukup berguna kepada bola sepak Kelantan untuk menaikkan semula imej bola sepak negeri ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada saingan Liga Premier musim hadapan, Kelantan mempunyai dua wakil apabila pasukan KUFC melayakkan diri untuk beraksi pada saingan Liga Premier selepas muncul juara pada Liga M3 musim ini.

Sementara itu, jurulatih kelahiran Perlis itu berkata, beliau berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Melaka United Mohd Nazrin Mohd Nawi bagi memperkuat pasukan itu.

"Saya berminat dengan corak permainan dia tetapi semuanya di tangan pihak pengurusan untuk mendapat pemain itu selepas perbincangan.

"Saya hanya mengemukakan cadangan senarai pemain, jika saya berminat, namun Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) tidak mampu tidak boleh juga, ia tertakluk kepada dana persatuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Bernama melaporkan Kafa mengesahkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain terbabit selepas dicadangkan oleh Yusri bagi memperkuatkan pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Premier. - Bernama