Henti perlekeh projek 'kereta terbang'

Produk super dron atau kereta terbang UAS E-Hang 216
Produk super dron atau kereta terbang UAS E-Hang 216
A
A
A

SHAH ALAM – Pihak yang memperlekehkan idea projek 'kereta terbang' sebagai projek paling tidak berguna sebenarnya mereka tidak sedar bahawa inisiatif itu diusahakan semata- mata untuk melahirkan lebih ramai usahawan tempatan.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, idea projek 'kereta terbang' atau istilah lebih tepat penggunaan dron di negara ini bukan sesuatu yang asing lebih-lebih lagi kerajaan menunjukkan minat dengan 'air mobility' atau super drone yang dibawa masuk syarikat tempatan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan berkata, Malaysia merupakan negara terkedepan dalam pembangunan teknologi yang menawarkan pasaran dijangka mencecah USD127 bilion menjelang tahun 2025.

"Saya berasa kesal kerana idea ini dihina dan diperlekeh dengan tuduhan projek kereta terbang paling tak guna.

"Kalau saya menterinya, terasa juga...Sebenarnya ada masalah komunikasi sedikit. Malaysia negara terkedepan dengan industri dron, jadi kitalah yang hendak beli ini...ada syarikat-syarikat tempatan kita buat.

"Mereka juga kata perancangan seterusnya untuk membangunkan 'air mobility', 'super drone' yang boleh bawa kargo dan orang.

"Bila menteri kata perkara sebegini usahawan bumiputera hendak buat...Beliau diperlekeh, dihina buta-buta, " katanya pada sesi penggulungan sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di sini hari ini.

Semalam Perwakilan dari Pahang, Mohd Fadzil Mohd Ramly menegaskan program kereta terbang dibawa Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof adalah merupakan projek paling tidak berguna dilakukan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, idea tersebut cukup memalukan penyokong dan ahli PH untuk dipertahankan apabila menjadi bahan sindiran dalam kalangan masyarakat.

Susulan daripada itu, Mohd Hatta turut mengingatkan perwakilan Amanah agar tidak percaya kepada berita disebarkan melalui media sosial bertujuan memburukkan usaha kerajaan.

“Jangan kita termakan dalam media sosial menghina, kita terpedaya media sosial ini, dia memang nak jatuhkan kerajaan kita, kita pula beri sokongan, kita mengiyakan, tolong sebarkan pula...hancur kita tuan-tuan.

“Semua berita buruk, negatif tentang PH, ia adalah berita tidak benar dan fitnah.Tolak dulu, jangan terima. Kalau kita terima, maaf kita bunuh diri sendiri,” katanya.