Amanah sedia bincang isu ambil alih FGV di peringkat PH, Kabinet

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC di sini hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2019 di IDCC di sini hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) akan membincangkan dakwaan mengaitkan pengambilalihan syarikat Felda Global Venture Holdings Berhad (FGV) oleh pihak ketiga ke peringkat Pakatan Harapan (PH) dan Kabinet.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata, perbincangan perkara itu penting supaya ianya tidak berulang sebagaimana kes penyenaraian aset-aset FGV ke senarai bursa saham oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Bagaimanapun menurutnya, dakwaan dibangkitkan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Datuk Mazlan Aliman itu ketika ini dikaitkan sebagai khabar angin dan tidak konkrit.

"Setakat ini, isu itu hanya di peringkat khabar angin. Kita akan bincang di peringkat PH dan Kabinet.

"Mengenai dakwaan pertemuan bagi membincangkan perkara itu esok, setakat ini, saya belum menerima apa-apa maklumat," katanya pada sidang media sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional, Dr Siti Mariah Mahmud.

Hari ini, Mazlan sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan mendedahkan terdapat gerakan terancang daripada pihak ketiga untuk mengambil alih kepentingan anak syarikat Felda, FGV daripada tangan pentadbiran Felda dalam masa terdekat.

Justeru, beliau menganggap gerakan itu sekiranya diberi 'lampu hijau' dijangka akan menyebabkan kerajaan PH dianggap sebagai pengkhianat oleh rakyat.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, pihaknya menerima maklumat pihak ketiga itu adalah syarikat milik tokoh korporat negara dan difahamkan, satu pertemuan di antara Ahli Lembaga Pengarah Felda dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diadakan esok bagi membincangkan perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Mohamad mengakui pertambahan mendadak ahli parti dari Kelantan membuktikan parti itu kini semakin diterima semua pihak dari seluruh negara.

Meskipun mengakui bayangan Pas masih sukar dikikis dari imej parti itu, Mohamad turut mendedahkan, ramai ahli Pas keluar dan menyertai Amanah kerana tidak mahu mengembalikan negara di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Ahli Pas tolak parti mereka sendiri kerana mereka melihat pembentukan Muafakat Nasional adalah BN 2.0.

"Orang Pas dididik begitu lama supaya membenci UMNO sampai tahap kafir-mengkafir. Jadi tidak ramai menerima kerjasama Muafakat Nasional dengan mudah dan akhirnya menyertai kita," katanya.

Mengenai isu memperkasakan ahli bukan Islam dan wanita dibangkitkan dalam konvensyen, Mohamad menjelaskan, Amanah parti inklusif yang menerima semua kaum untuk menjadi ahli dan pemimpin parti itu.

"Kita juga yakin perwakilan dan kepimpinan parti akan terdiri lebih ramai golongan wanita apabila Amanah semakin berkembang kepada umum," katanya.