Baru tiga hari keluar penjara dah buat onar

Sebahagian rampasan dipercayai dicuri suspek. - Foto polis
Sebahagian rampasan dipercayai dicuri suspek. - Foto polis
A
A
A

BESUT - Baharu sahaja keluar penjara tiga hari, seorang lelaki kembali membuat onar dengan memecah masuk pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh pagi semalam.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan berjaya ditahan sejam kemudian oleh sepasukan polis dari Balai Polis Jerteh.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian tersebut disedari kira-kira jam 1 pagi apabila pengadu dimaklumkan Pejabat ADUN Jerteh di Kampung Gong Kemuntong dipecah masuk.

“Pengadu kemudiannya terus pergi ke pejabat tersebut dan mendapati cermin tingkap nako pecah. Setelah membuat pemeriksaan, dia mendapati lima laptop sudah hilang.

“Dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jerteh pada jam 2.34 pagi untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Jerteh membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 27 tahun di perkarangan Masjid Hadhari, Jerteh kira-kira jam 3 pagi.

Hasil pemeriksaan mendapati, beg galas yang dipakai suspek mengandungi masing-masing satu unit komputer riba, tetikus dan pengecas komputer riba.

“Hasil soal siasat dengan dipandu arah oleh suspek, polis membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Jerteh Terengganu dan menjumpai empat unit laptop, tiga beg laptop, tiga tetikus dan tiga pengecas laptop.

Artikel Berkaitan:

“Ujian saringan awal urin mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkait dadah dan memiliki barang curi,” katanya.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari dan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk.