X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk tidak bimbang lagi hadapi musim tengkujuh

A
A

GUA MUSANG - Sebelum ini setiap kali musim tengkujuh tiba penduduk di sekitar Kampung Setelu hidup dalam kebimbangan ekoran air di Sungai Nenggiri akan menenggelamkan jambatan perhubungan mereka.

Namun sejak jambatan konkrit bernilai RM36.7 juta merentasi Sungai Nenggiri menghubungkan Jalan Gua Musang-Jeli di Kampung Pulau Setelu siap menjelang Aidilfitri lalu, penduduk kampung kini menarik nafas lega.

Bukan sahaja penduduk di 13 kampung berdekatan malah jambatan ini memberi manfaat kepada kira-kira 100,000 pengguna terutamanya di musim perayaan.

Penduduk Kampung Kuala Lah, Ahmad Kamizi Jalil, 51, berkata, sejak jambatan baharu mula dibuka, mereka tidak perlu risau lagi mengenai jalan perhubungan untuk ke bandar Gua Musang.

Mengimbau kenangan dua tahun lalu, Kamizi memberitahu, dia pernah sakit sehingga terpaksa diusung menyeberangi sungai menggunakan bot tambang.

"Hampir lima tahun penduduk di sini berdepan situasi yang sama apabila jambatan sementara tenggelam, kami perlu menggunakan bot termasuk pelajar sekolah.

"Alhamdulillah, kini kami tidak bimbang lagi. Malah, hujan berlarutan baru-baru ini juga tidak menjejaskan jambatan baharu. Kalau masih guna jambatan lama, sudah tentu perkara yang sama berulang.

"Jambatan sementara yang menggantikan jambatan yang runtuh akibat bah kuning 2014 juga telah dilupuskan kerana ia membahayakan pengguna," katanya.

Sementara itu, ketua Kampung Pulau Setelu, Anuar Yakob berkata, kini masalah utama penduduk sekitar berakhir dengan adanya jambatan kekal.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun turut membuat lawatan kerja ke lokasi berkenaan.

Jambatan konkrit itu dibina merentasi Sungai Nenggiri di Kampung Pulau Setelu, menghubungkan laluan Gua Musang ke Jelawat, Jeli.

Jambatan sepanjang 120 meter dan lebar 30.5 meter mula dibina sejak tahun 2017.

Antara penduduk kampung yang menggunakan jambatan ini setiap hari ialah dari Kampung Pulau Setelu, Kampung Kuala Lah, Kampung Jerek, Kampung Meranto, Kampung Dalam Lah, Kampung Prak, Kampung Kuala Tol, Kampung Star, Kampung Kala dan Kampung Pasir Tumboh.