Tewaskan City kemenangan terindah United

Rashford meletakkan The Red Devils di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama di Stadium Etihad awal pagi tadi. Foto: Premier League
Rashford meletakkan The Red Devils di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada babak pertama di Stadium Etihad awal pagi tadi. Foto: Premier League
A
A
A

OLE Gunnar Solskjaer menyifatkan kejayaan menewaskan jiran tertangga Manchester City 2-1 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad awal pagi tadi merupakan satu kemenangan terindah.

Pengendali Manchester United itu berkata, derbi Manchester pertama musim ini akan sentiasa diingati kerana bukan mudah untuk menewaskan kelab pakej lengkap berstatus pilihan menjuarai saingan liga perdana.

"Kami akan mengingati kemenangan ini kerana pemain-pemain sudah memberikan yang sehabis baik di padang dengan penguasaan bola diikuti menterjemahkan setiap peluang dalam bentuk gol.

"Menentang antara kelab terbaik dunia seperti Manchester City tambahan pula di laman mereka bukan mudah tapi pemain muda Manchester United telah membuktikan karakter sebenar mereka di Etihad," katanya.

Tampil bagi aksi Derbi Manchester Ke-179, pelawat terlebih dulu mendahului babak pertama dua gol hasil jaringan penalti Marcus Rashford dan Anthony Martial.

Tuan rumah pada babak kedua tampil agresif, namun kekentalan pertahanan The Red Devils hanya membenarkan satu gol daripada

Nicolas Otamendi bagi merapatkan jurang jaringan.

Bagaimanapun Solskjaer pada masa sama menuntut barisan penyerangnya mempertajamkan lagi tindakan penyudah selepas menyaksikan deretan peluang menambah gol dipersiapkan pemain-pemain muda Manchester United.

Artikel Berkaitan:

"Saya akui Manchester City bukan kelab biasa-biasa berdasarkan permainan luar biasa mereka setiap perlawanan terutamanya ketajaman penyudah mereka.

"Tapi jika kita lihat Manchester United juga memiliki deretan peluang yang boleh menghasilkan empat lima gol selepas mendahului lawan, namun diakui para pemain masih gagal menterjemahkannya dalam bentuk gol," katanya.

Kemenangan ke atas The Citizens kembali meletakkan The Red Devils dalam kelompok lima terbaik selepas mengharungi 16 perlawanan dengan mengumpul 24 mata.