Penari ditembak gara-gara berhenti rehat

Mangsa yang cedera teruk di bahagian rahang dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal namun kini dilaporkan semakin stabil.- Foto: SUSHEEL SHUKLA
Mangsa yang cedera teruk di bahagian rahang dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal namun kini dilaporkan semakin stabil.- Foto: SUSHEEL SHUKLA
A
A
A

UTTAR PRADESH - Seorang penari wanita ditembak di muka gara-gara berehat sebentar selepas membuat persembahan di sebuah majlis perkahwinan di India.

Insiden berlaku pada 1 Disember lalu ketika penari berusia 22 tahun bernama Hina membuat persembahan di majlis perkahwinan anak perempuan seorang ketua kampung di Uttar Pradesh.

Namun berita tentang insiden tersebut hanya tersebar beberapa hari kemudian selepas video kejadian dikongsikan di media sosial sekali gus membawa kepada penahanan dua suspek lelaki.

Dalam rakaman video tersebut, Hina dan seorang lagi rakan penari bernama Naina sedang membuat persembahan di atas pentas, turut kelihatan beberapa orang tetamu duduk di belakang mereka.

Apabila lagu berhenti dimainkan, pasangan penari itu turut berehat seketika dan hadirin mula menjerit ke arah mereka.

Hina dan Naina kemudian berpaling kepada tetamu yang duduk di belakang mereka dan kelihatan seperti bercakap dengan seseorang.

Menurut NDTV, kedengaran satu suara lelaki berkata, 'tembakan akan dilepaskan' sebelum satu lagi suara berkata, 'Abang, awak patut melepaskan tembakan'.

Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi tembakan kuat dan Hina kelihatan memegang mukanya sambil terhuyung-hayang di atas pentas sebelum video berakhir.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang cedera teruk di bahagian rahang dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal namun kini dilaporkan semakin stabil.

Insiden dilaporkan kepada polis oleh bapa saudara pengantin lelaki yang mendakwa penembak merupakan saudara kepada bapa pengantin perempuan.

Pada tahun 2016, Kulwinder Kaur, seorang penari berusia 25 tahun yang sarat mengandung maut serta-merta akibat ditembak di bahagian perut ketika membuat persembahan di atas pentas. - Agensi