PKR sedia tunjuk pintu keluar kepada ahli tidak disiplin

Lih Kang berucap pada sesi pergulungan Kongres Nasional PKR ke-14 tahun 2019 di MITC hari ini. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Lih Kang berucap pada sesi pergulungan Kongres Nasional PKR ke-14 tahun 2019 di MITC hari ini. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

MELAKA TENGAH - Ahli parti boleh berkabilah tetapi tidak boleh melanggar peraturan dan membelakangkan aspirasi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang berkata, aspirasi parti antaranya mengangkat Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan dan memperjuangkan agenda rakyat.

Menurutnya, tiada masalah jika berlainan pendapat namun ahli yang membelakangkan aspirasi itu adalah pengkhianat dan pembelot.

"Kepada kawan-kawan yang berbeza pendapat buatlah keputusan sama ada mahu ikut disiplin parti atau pergi. Kalau nak duduk bersama dalam parti sila ikut peraturan, kalau nak pergi kami boleh tunjuk pintu keluar.

"Saya menyeru supaya parti ambil tindakan tegas terhadap pemimpin ini. Jangan hina parti kita ke tahap ini," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PRK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Lih Kang berkata, parti itu tidak akan dapat beroperasi sekiranya ada pemimpin yang menang dalam pemilihan parti tetapi tidak hadir mesyuarat.

Menurutnya, rakyat sudah muak dengan situasi tersebut sehingga Pakatan Harapan (PH) mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

"Jangan menang dalam pemilihan parti tapi kita kalah dalam PRU (pilihan raya umum)," katanya.

Artikel Berkaitan: