'Terlalu berlembut punca anarki kuasai PKR'

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kita sudah terlalu berlembut sehingga membenarkan anarki menguasai parti, tegas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau yakin perwakilan turut bersetuju dengan kenyataan itu apabila keterbukaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipergunakan sepenuhnya untuk menginjak-injak kepimpinan presiden.

"Kesabaran dan kesediaan presiden untuk mendengar pandangan yang bertentangan dengan pendirian dan keputusan beliau dimanipulasi untuk kepentingan peribadi.

"Jika kita panggil diri kita demokrat, jika kita junjung prinsip-prinsip demokrasi, kita seharusnya faham bahawa demokrasi bukan sekadar 'majority rule'.

"Demokrasi bererti kemampuan untuk menerima pandangan yang berbeza dengan kita.

"Demokrasi bukan bermakna pemaksaan kehendak kita semata-mata tetapi satu bentuk muafakat dan bersedia menerima serta menghormati keputusan pemimpin," katanya.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan demokrasi juga menguji kesediaan ahli parti untuk berkompromi.

Artikel Berkaitan:

"Namun sekiranya tidak bersedia melakukan perkara-perkara itu usahlah panggil diri kita seorang demokrat," katanya.

Sehubungan itu, katanya, penginjak-penginjak demokrasi perlu diambil tindakan supaya PKR kekal sebagai sebuah parti untuk para demokrat yang faham dan menghormati prinsip-prinsip demokrasi.