Tersenarai atau tidak, serah pada parti - Bekas ADUN PKR

Gunaraj (duduk tengah) ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Strategik Pimpinan India PKR di sebuah hotel di Subang Jaya di sini pada Sabtu.
Gunaraj (duduk tengah) ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Strategik Pimpinan India PKR di sebuah hotel di Subang Jaya di sini pada Sabtu.
A
A
A

SUBANG JAYA - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George menyerahkan kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menentukan sama ada beliau akan disenaraikan untuk mempertahankan kerusi DUN Sentosa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

Gunaraj yang juga Ketua PKR Cabang Kota Raja berkata, tidak menolak untuk terus bertanding seandainya diminta pucuk pimpinan parti berkenaan untuk berbuat demikian.

"Kita memang menunggu pengumuman daripada pimpinan dan saya telah menawarkan diri untuk bertanding di (DUN Sentosa) tetapi kita perlu tunggulah," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Strategik Pimpinan India PKR di sebuah hotel di Subang Jaya di sini pada Sabtu.

Pada mesyuarat tersebut, ketua dan wakil PKR daripada 22 cabang sebulat suara akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon bertanding pada PRN bagi memastikan PH kekal di negeri itu.

Gunaraj berkata, gerak kerja jentera di setiap cabang bagi menghadapi pilihan raya sudah bermula sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) iaitu kira-kira enam bulan lalu.

"Itu juga boleh dijadikan sebagai latihan dan sekarang kita perlu mempertahankan Selangor dengan pengalaman yang ada pada PRU lalu.

"Setiap cabang terutama pemimpin India daripada PKR kini bersedia dalam membantu jentera cabang, negeri sekali gus bagi mengekalkan Selangor di bawah PH," katanya.