Tanjung Penyabong pertingkat ekonomi setempat

Sahruddin (dua dari kiri) dan Baidzawi (kiri) menyampaikan replika kunci kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Norazmi Amir Hamzah.
Sahruddin (dua dari kiri) dan Baidzawi (kiri) menyampaikan replika kunci kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Mersing, Norazmi Amir Hamzah.
A
A
A

TANJUNG Penyabong Waterfront di sini mampu menjadi salah satu aset dan tarikan utama kerajaan bagi menyambut Tahun Melawat Johor tahun hadapan serta Tahun Melawat Malaysia.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, projek dibangunkan kerajaan Pusat menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu langkah terbaik dalam mengoptimumkan pembangunan ekonomi setempat.

“Tanjung Penyabong bakal menjadi tarikan pelancong bukan sahaja untuk menikmati makanan tempatan dan membeli kraftangan, malah lokasi aktiviti memancing, berkelah dan island hopping.

“Di samping itu, kepesatan aktiviti membolehkan Tanjung Penyabong sebagai pintu keluar alternatif kepada pelancong untuk ke pulau-pulau yang ada di daerah ini.

“Selain itu, kedudukan Tanjung Penyabong yang terletak berdekatan rojek pelancongan lain di bawah ECERDC seperti Kampungstay Air Papan dan Mersing Harbour Centre juga mampu mengukuhkan lagi kedudukan Mersing sebagai salah sebuah destinasi pelancongan utama negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Tanjung Penyabong di Medan Selera Tanjung Penyabong di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Sahruddin berkata, kerajaan negeri mempunyai harapan yang tinggi untuk melihat perkembangan lebih positif di kawasan pelancongan itu termasuk pembangunan berkaitan aktiviti marin dan perikanan.

Artikel Berkaitan:

Sahruddin (tengah) meninjau jeti nelayan yang hampir dengan kawasan Pembangunan Tanjung Penyabong.
Sahruddin (tengah) meninjau jeti nelayan yang hampir dengan kawasan Pembangunan Tanjung Penyabong.

“Kesemua itu bagi meningkatkan lagi ekonomi tempatan dengan memanfaatkan kekayaan sumber berasaskan marin dan pertanian di samping mengukuhkan kedudukan Mersing sebagai sebuah destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

“Oleh itu, saya berharap penduduk tempatan dan rakyat dapat memanfaatkan peluang yang wujud daripada pembangunan Tanjung Penyabong ini,” katanya.

Selain Mersing, Sahruddin berharap daerah Segamat boleh dimajukan oleh ECERDC.

“Insya-ALLAH bila Segamat dan Mersing dalam satu kawasan ECER mudah untuk kita menjalankan pembangunan.

“Untuk Segamat kita baru nak mohon, sebab kawasan itu banyak peluang dapat kita bangunkan seperti produk pertanian,” katanya.

Projek Pelancongan Tanjung Penyabong yang melibatkan kos RM15 juta mula dijalankan sejak dua tahun lalu, membabitkan pembangunan kemudahan seperti jeti, medan selera dan taman permainan.

Medan selera yang dibangunkan bagi menggantikan gerai jualan peniaga lama.
Medan selera yang dibangunkan bagi menggantikan gerai jualan peniaga lama.

Beri impak positif KERAJAAN Persekutuan menerusi ECERDC selesai membangunkan Tanjung Penyabong sebagai salah satu destinasi pelancongan dan perindustrian perikanan di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, pembangunan selama dua tahun melibatkan kos RM15 juta itu memberi impak positif kepada masyarakat setempat melalui peluang kerja dan keusahawanan.

“Pembangunan bersepadu ini adalah sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk membangunkan Mersing sebagai sebuah destinasi pelancongan yang menarik dan mampan.

"Selain pelancongan, kemudahan di Tanjung Penyabong Waterfront juga dijangka merangsang aktiviti perniagaan dan perikanan tempatan kerana terdiri daripada medan selera, pusat kraftangan serta kemudahan awam,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Tanjung Penyabong di sini semalam.

Baidzawi berkata, jeti sedia ada di kawasan itu dinaik taraf bagi memberikan keselesaan kepada pelancong menaiki bot ke pulau-pulau berdekatan dan memudahkan aktiviti nelayan.

“Mersing mengalami transformasi sosioekonomi mantap hasil daripada projek infrastruktur berimpak tinggi oleh ECERDC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

“Penyiapan kemudahan di Tanjung Penyabong Waterfront akan melengkapi pembangunan pelancongan lain seperti Mersing Harbour Centre, Medan Ikan Bakar Endau dan penaiktarafan jalan ke Taman Negara Endau-Rompin serta kemudahan awam di kepulauan Mersing,” katanya.