Beg sandang hilang, penuntut IPTS tawar ganjaran RM300

Rakaman CCTV dimuat naik Syaq Yee di Facebook berhubung kehilangan begnya pada Rabu lalu.
Rakaman CCTV dimuat naik Syaq Yee di Facebook berhubung kehilangan begnya pada Rabu lalu.
A
A
A

SEREMBAN – Seorang penuntut di sebuah Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menawarkan ganjaran RM300 kepada individu yang menemui dan memulangkan semula beg sandangnya.

Yang Syaq Yee, 19, berkata, begnya hilang ketika dia ke sebuah pasar raya di Okland di sini, kira-kira jam 4.30 petang pada Rabu lalu.

“Ketika saya berjalan dengan rakan di pasar raya itu, saya tertinggal beg sandang di bahagian permainan kanak-kanak.

“Selepas beberapa minit, saya sedar beg saya tiada dan pergi semula ke sana tapi malangnya beg saya sudah tiada,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia kemudian telah membuat aduan kepada pihak pengurusan pasar raya yang kemudian membenarkannya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Kata Syaq Yee, berdasarkan rakaman CCTV, didapati sekumpulan lelaki dan perempuan mengambil beg berkenaan.

“Saya telah pun membuat laporan polis berkenaan kehilangan beg itu. Saya sanggup tawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat menemui dan pulangkan semula beg saya itu kerana terdapat barang berharga di dalamnya.

“Saya juga telah tularkan mengenai perkara itu di Facebook berserta petikan rakaman video CCTV tapi malangnya, sampai sekarang saya tidak dapat sebarang maklumat mengenai perkara itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Syaq Yee berkata, dia menetap di Terengganu tetapi ke Seremban untuk bercuti bersama rakannya, namun tidak menyangka ia menjadi pengalaman tidak menggembirakan berikutan kehilangan begnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Syaq Yee di talian 01112913260.