Kereta terbakar selepas parkir 5 minit

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran. (Gambar kecil: Junaidi Mohd)
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran. (Gambar kecil: Junaidi Mohd)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kontraktor tergamam apabila kereta yang baru diparkirnya hanya dalam tempoh 5 minit terbakar di Jalan Sultan Ismail di sini, malam tadi.

Mohd Arifuddin Md Nawawi, 25, berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku selepas dia parkir kereta Proton Persona miliknya untuk ke sebuah bank di kawasan itu.

"Sekejap sahaja dalam lima minit, kawan saya yang sedang tunggu di kereta telefon beritahu kereta saya terbakar.

"Saya bergegas ke kereta dan tengok hadapan kereta iaitu di bahagian enjin musnah dalam 20 peratus," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rakannya, Nurfadilah Mohd Azman, 25, yang menunggu di dalam kenderaan itu berkata, dia terhidu bau hangit dan melihat percikan api di bahagian bawah kenderaan sebelum menghubungi Mohd Arifuddin untuk memaklumkan kejadian.

Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.
Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak.

"Orang ramai yang ada berhampiran lokasi kejadian cuba membantu memadamkan kebakaran di bahagian dalam kenderaan menggunakan alat pemadam api tapi api semakin marak," katanya.

Sementara itu, komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Pegawai Bomba Kanan II Junaidi Mohd berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 9.40 malam sebelum lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik sahaja tiba, kita dapati api sudah merebak dan asap memenuhi bahagian enjin kenderaan menyebabkan anggota bomba terpaksa memecahkan cermin depan bagi mengelak kebakaran di bahagian dalam kereta itu.

“Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya dalam tempoh 15 minit dan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.