Tunku Azizah terima Anugerah Ikon Kraf 2019 di India

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia (WCC) dalam satu majlis di sini, malam ini.- FOTO- BERNAMA
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia (WCC) dalam satu majlis di sini, malam ini.- FOTO- BERNAMA
A
A
A

NEW DELHI- Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menerima Anugerah Ikon Kraf 2019 daripada Majlis Kraf Dunia (WCC) dalam satu majlis di sini, malam ini.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan Tunku Azizah dalam memajukan warisan kraf dan kesenian tradisi Malaysia.

"Penyertaan (kraf) baginda memenuhi kriteria juri dengan sangat baik. Kerja seni ini menunjukkan tahap komitmen peribadi yang sangat tinggi dan penglibatan insani,” kata Prof Aftab Gharda, anggota juri antarabangsa Anugerah Kraf Antarabangsa Ketiga, kepada Bernama.

Merujuk kepada peranan Tunku Azizah yang melibatkan penghuni penjara dalam kerja kraf, beliau berkata projek baginda membolehkan individu yang mungkin telah hilang arah dalam kehidupan mereka untuk menilai semula kedudukan dan membina semula penghidupan melalui kemahiran baharu.

"Anugerah yang disampaikan kepada baginda sangat bertepatan dan melakar sejarah dalam inisiatif itu, yang memulakan suatu legasi bagi generasi akan datang,” kata Gharda.

Anugerah itu disampaikan bersempena Minggu Kraf India, yang turut mempamerkan persalinan daripada kain tenun Pahang Diraja yang dipakai oleh Tunku Azizah pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Kain tenun itu merupakan sentuhan rekaan yang diilhamkan baginda sendiri menggunakan tanda kebesaran diraja Pahang dan ia ditenun khas oleh penghuni Penjara Penor.

Terdahulu, Tunku Azizah melawat pameran kraf dan berinteraksi dengan pempamer yang mengambil bahagian. -- BERNAMA

Artikel Berkaitan: