X

Kindly register in order to view this article
!

Perhimpunan Agung UMNO 2019 lulus kuasa autonomi UMNO Sabah

Bung Moktar - Foto fail
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO Sabah secara rasminya 'mengurangkan ikatan' dengan UMNO pusat apabila kini ia boleh menentukan hala tuju perjuangan sendiri setelah usul berkaitan kuasa autonomi UMNO di negeri itu diluluskan ketika pindaan usul mesyuarat khas bersempena Persidangan Agung UMNO 2019.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, peralihan tersebut memaktubkan kewujudan UMNO Sabah sebagai sebuah entiti politik yang berautonomi kerana hanya orang Sabah yang lebih arif akan masalah dan perkara yang boleh dilakukan di negeri itu.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, usul tersebut telah dibincangkan dan dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO kira-kira lima bulan lepas dan seterusnya perkara itu menunggu masa untuk diluluskan pada Persidangan Agung UMNO ke-73, kali ini.

"Kita diberi kuasa untuk menguruskan segala urusan. Ia masih 'UMNO' cumanya kita akan lokalkannya. Soal calon, soal pemimpin, soal kerusi yang kita tanding termasuk di (Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen) Kimanis nanti akan diputuskan oleh UMNO Sabah sendiri," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Ditanya mengenai hala tuju UMNO Sabah selepas ini, Bung Moktar berkata, pada ketika ini pihaknya belum menggariskan sebarang perincian namun meneruskan usaha memperkuatkan parti itu.

Ditanya mengenai usul berkaitan kuasa autonomi Sabah itu yang tidak disebut dalam 12 usul pindaan perlembagaan UMNO, beliau berkata, ia merupakan usul yang berbeza.

"Ia tidak dimasukkan kerana usul itu terlalu panjang lebar, tetapi ia dimasukkan ke dalam Perlembagaan UMNO itu sendiri di mana autonomi itu disimpan di bawah Sabah Chapter," katanya.

Mengenai pemilihan calon PRK Parlimen Kimanis yang akan dibuatnya, Bung Moktar berkata, situasi UMNO Sabah dengan kuasa autonomi itu ibarat 'suatu kebetulan yang menyenangkan’.

Ketika ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunggu perakuan daripada Mahkamah Persekutuan bagi mengambil tindakan selanjutnya untuk mengadakan PRK di kawasan Parlimen Kimanis yang kini kosong susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang memfailkan petisyen pada 18 Jun 2018 bagi mencabar kemenangan Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi. Beliau memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi manakala calon Parti Harapan Rakyat Sabah, Jaafar Ismail menerima 1,300 undi. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus