X

Kindly register in order to view this article
!

Nelayan hilang: Operasi SAR sukar kerana ombak besar

Pihak berkuasa menggerakkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
A
A

DUNGUN - Keadaan laut yang bergelora dan ombak setinggi hampir lima meter menyukarkan usaha pencarian mangsa bot karam, Afandi Zakaria, 42, di muara Kuala Dungun di sini.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan 2, Azman Alias berkata, disebabkan itu, pihaknya tidak dapat melakukan pencarian di laut sebaliknya terpaksa membuat pencarian di pesisir pantai.

Menurutnya, keadaan laut bergelora sangat berisiko bagi pasukan penyelamat menjalankan operasi di laut.

"Setakat ini, pencarian kita tertumpu di empat sektor dengan pembahagian tugas kepada empat kumpulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bot karam, nelayan dikhuatiri lemas

"Bomba dengan bantuan APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) telah melakukan pencarian di pesisir pantai dari Kuala Dungun sehingga pesisir pantai UiTM (Universiti Teknologi Mara) Dungun sejauh 10 kilometer.

"Radius sektor pencarian akan diperluaskan secara berperingkat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Afandi yang juga seorang nelayan hilang di laut selepas bot yang dinaiki bersama dua rakannya karam dipukul ombak di muara Kuala Dungun pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang berasal dari Jalan Bunga Raya di sini didapati terpisah daripada dua rakannya, Mohamad Ekhsan Kamaruddin, 32, dan Mohd Fadhil Jusoh, 39.

Dua rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai sambil berpaut dengan tong minyak.

Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kemaman dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pengarah Maritim Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, pihaknya telah menerima laporan tentang kejadian itu kira-kira jam 8.35 pagi.

Katanya, pihaknya telah mengaktifkan operasi SAR di laut pada jam 8.50 pagi.

"Bot Kilat 27 milik APMM telah diatur gerak ke tempat kejadian sejurus menerima aduan untuk membuat operasi mencari dan menyelamat di sekitar kawasan kejadian," katanya.