Trump tangguh pelan gelar raja dadah Mexico sebagai organisasi pengganas

Donald Trump. - Foto AFP
Donald Trump. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau menangguhkan pelannya untuk menggelar raja dadah Mexico sebagai pengganas atas permintaan Presiden Andres Manuel Lopez Obrador, lapor agensi berita Rusia Sputnik.

Bulan lepas, agensi sempadan persekutuan AS berkata, ia sedang mempertimbang gelaran keganasan untuk kartel dadah susulan pembunuhan beramai-ramai satu keluarga berfahaman Mormon di utara Mexico.

"Segala tugasan yang perlu telah diselesaikan untuk mengisytiharkan Kartel Dadah Mexico sebagai sebuah organisasi pengganas. Kami bersedia untuk berbuat demikian.

"Bagaimanapun atas permintaan seorang lelaki yang saya suka serta hormati dan yang telah berusaha dengan baik bersama kami, Presiden Andres Manuel @LopezObrador_ kami (Amerika Syarikat) akan menangguhkan buat sementara gelaran ini dan mempertingkat usaha bersama dalam menangani organisasi kejam dan yang terus berkembang ini!" kata Trump menerusi Twitter semalam.

Trump dalam satu temu bual pada 27 November berkata, beliau telah meminta Lopez Obrador membiarkan AS memasuki Mexico untuk membersihkan kartel dadah.

Trump berkata, beliau telah mencuba secara rasmi untuk menggelarkan kartel dadah Mexico sebagai organisasi pengganas selama lebih tiga bulan. - Bernama

Artikel Berkaitan: