X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada laporan kes penjual kain batik culik budak: Polis

Seorang pemilik akaun Facebook memuat naik status berhubung kejadian membabitkan dua individu yang menjual kain batik sambil mengambil kesempatan melakukan cubaan menculik kanak-kanak.
A
A

KUALA SELANGOR - Polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kes cubaan menculik kanak-kanak sekitar kawasan Sawah Sempadan, Sungai Sireh dan Tanjong Karang sebagaimana tular di media sosial.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Noor Janihan Nanyan berkata, sehingga kini tiada laporan berhubung kejadian itu.

"Tiada sebarang laporan diterima berkenaan kejadian terbabit," katanya dalam aplikasi WhatsApp media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor hari ini.

Sebelum ini tular di Facebook kononnya terdapat dua individu bertindak memaksa penduduk kampung membeli kain batik sambil mengambil kesempatan melakukan cubaan menculik kanak-kanak di tiga kawasan terbabit.

Terdahulu, seorang pemilik akaun Facebook memuat naik status memberitahu kejadian berlaku apabila dua individu datang ke rumah ibunya kira-kira jam 4 petang, semalam.

"(Kejadian berlaku) depan mata saya. Memang terkejut kerana (ketika kejadian) anak saya main pasir di depan (pekarangan) rumah emak.

"Saya terus meminta dua individu itu beredar dan pergi," katanya.