Rumah Putih enggan hadiri pendengaran pemecatan Trump

Donald Trump
Donald Trump
A
A
A

WASHINGTON - Rumah Putih tidak akan mengambil bahagian dalam pendengaran Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan pada Isnin mengenai inkuiri pemecatan terhadap Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, kata penasihat Rumah Putih semalam.

Pat Cippolone turut menyelar inkuiri pemecatan itu sebagai 'benar-benar tidak berasas' dalam surat kepada pengerusi jawatankuasa tersebut, Jerry Nadler, lapor agensi berita Turki Anadolu.

"Anggota Parlimen Demokrat telah membazirkan masa Amerika dengan kepura-puraan ini," kata Cippolone. "Anda perlu menghentikan inkuiri ini sekarang dan tidak membazirkan lebih banyak masa dengan pendengaran tambahan."

Minggu lepas, Nadler memberitahu Trump dalam sepucuk surat bahawa beliau mempunyai tempoh sehingga semalam untuk memutuskan sama ada ingin menghadiri pendengaran itu dan menawarkan pilihan menghantar seseorang untuk mewakilinya.

Jawatankuasa Kehakiman telah memulakan pendengaran pertama pemecatan pada Rabu.

Respons Rumah Putih dibuat sehari selepas Speaker Dewan Nancy Pelosi meminta anggota parlimen merangka perkara-perkara mengenai pemecatan terhadap presiden.

Siasatan dewan itu berkisar kepada tindakan Trump yang berulang kali meminta Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengisytiharkan siasatan jenayah terhadap calon presiden Parti Demokratik Joe Biden dan anak lelakinya, Hunter selain mendakwa Ukraine adalah negara yang campur tangan dalam pilihan raya presiden AS pada 2016, bukannya Rusia.

Turut menjadi isu ialah penangguhan bantuan ketenteraan sebanyak US$400 juta kepada Ukraine di peringkat kongres dan sama ada Trump telah memberi syarat untuk meluluskan bantuan itu serta kemungkinan terdapat mesyuarat Pejabat Oval dengan Zelensky berhubung tindakan presiden Ukraine itu yang mengumumkan siasatan tersebut (terhadap Biden dan anaknya) secara terbuka. - Bernama

Artikel Berkaitan: