X

Kindly register in order to view this article
!

Perak tubuh pusat TVET pertama di Bidor

Sivanesan (kiri) ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan kali ke-9 Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Semenanjung Malaysia (Kepaim) di sebuah hotel di sini hari ini.
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan menubuhkan pusat latihan kemahiran vokasional (TVET) pertama di Bidor khusus untuk anak muda di kawasan selatan negeri itu.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan berkata, pusat latihan yang dijangka beroperasi pada Mac atau April tahun depan itu akan membabitkan pengambilan pelatih di lima kawasan Parlimen iaitu Tanjung Malim, Bagan Datuk, Teluk Intan, Tapah dan Kampar.

Menurutnya, dengan 13 pilihan kursus disediakan, pelatih-pelatih ini akan diambil daripada lepasan sekolah di lima kawasan Parlimen tersebut dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan pihak sekolah melalui cadangan kaunselor.

"Kita sudah ada kilang-kilang yang sanggup mengambil pelatih ini untuk bekerja dengan mereka malah turut memberi aku janji untuk hantar balik pekerja-pekerja yang rajin untuk reskiling dan upskiling.

"Dengan kemahiran ini, seorang pelatih berumur 19 tahun boleh dapat gaji tak kurang RM1,300 hingga RM1,500 selepas mengikuti kursus selama enam bulan. Kursus yang ditawarkan di pusat TVET ini adalah kursus yang ada peluang pekerjaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tritahunan kali ke-9 Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Semenanjung Malaysia (Kepaim) di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau berkata, setiap sesi pengambilan, seramai 150 akan dipilih melalui temuduga yang diadakan oleh pusat TVET tersebut sebelum menjalani latihan selama enam bulan.

Menurut Sivanesan, penubuhan pusat TVET itu mendapat sokongan penuh dan dibiayai oleh kerajaan negeri bagi memastikan anak muda tidak berhijrah keluar Perak mencari pekerjaan.

Beliau berkata, sekiranya pelatih ingin meneruskan pengajian di peringkat Diploma, mereka boleh menyambungnya ke Institut Latihan Perindustrian (ILP).

Sementara itu, Sivanesan menjelaskan kes pemecatan kerja atau pemberhentian kerja disebabkan penutupan syarikat bagi tempoh Januari hingga kini agak berkurangan berbanding negeri-negeri lain.

Malah katanya jumlah pengangguran juga berkurangan daripada 39,500 orang pada tahun 2017 kepada 33,000 pada tahun ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf