Warda syor wujud modul kewarganegaraan

Fatihah - FOTO ROSLI TALIB
Fatihah - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita Muda Amanah (Warda) mencadangkan satu modul kewarganegaraan dapat diwujudkan bagi memberi pendedahan kepada anak muda mengenai sistem demokrasi berparlimen.

Perwakilannya, Fatihah Salehuddin berkata, penghasilan modul tersebut dilihat mampu melahirkan generasi yang celik perlembagaan sesuai dengan perkembangan masa kini.

Menurut Fatihah, buat masa ini, pembangkang seringkali memainkan isu perkauman dan perkara itu tidak seharusnya dipandang remeh oleh semua pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk Parti Amanah Negara (Amanah).

"Sebagai contoh, sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, isu perkauman ini dimainkan terlampau kerap oleh pembangkang dan ini adalah sesuatu yang serius," katanya sewaktu perbahasan pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Dalam pada itu, Fatihah turut berharap agar kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dapat menyelesaikan isu lambakan graduan dalam bidang perubatan di negara ini.

Katanya, lambakan graduan perubatan di Malaysia dianggarkan sekitar 5,000 hingga 6,000 setahun namun sehingga kini negara masih dibelenggu masalah kekurangan doktor.

"Masalah ini berlarutan sejak zaman Barisan Nasional (BN) lagi namun saya percaya kerajaan dan KKM akan menangani permasalahan ini.

"Selain perubatan, banyak lagi lambakan graduan dalam bidang lain dan kita perlu mencari penyelesaian terhadap masalah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, ketidakseimbangan kursus yang ditawarkan dan peluang kerja sedia ada menjadi dilema serta masalah besar buat anak muda pada masa kini.