PKR sasar satu juta ahli tahun depan

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tiba pada Kongres Nasional PKR ke-14 tahun 2019 di MITC hari ini. Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika tiba pada Kongres Nasional PKR ke-14 tahun 2019 di MITC hari ini. Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

MELAKA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini mempunyai 948,239 ahli menyasarkan keanggotaan satu juta ahli menjelang kongres parti itu tahun depan.

Setiausaha Agung PKR, Datu Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR ditubuhkan pada April 1999 bermula dengan keahlian awal seramai 4,193 orang.

Menurutnya, PKR kini juga satu-satunya parti yang berjaya menubuhkan cabang di kesemua 222 kawasan Parlimen seluruh negara.

"Data sehingga 15 November 2019, kita cuma kurang 52,000 ahli lagi untuk cecah satu juta anggota.

"Harap pada akhir kongres esok, sidang perwakilan, pemerhati dan penggerak parti akan balik dengan fokus baru.

"Dapatkan lagi ahli baru supaya kongres tahun depan kita ada satu juta anggota. Ini sasaran utama kita," katanya dalam ucapan aluan Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Kongres tersebut dirasmikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, wakil Parti Tindakan Demokrarik (DAP), Tan Kok Wai dan wakil Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa dan wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Majlis perasmian turut dihadiri delegasi kedutaan daripada Brirish, Jepun, Rusia, Senegal, India, Indonesia Singapura, Turki dan Amerika Syarikat.

Saifuddin berkata, Sabah mencatatkan pertambahan ahli luar biasa dengan lonjakan saujana kepada 168,000 ahli ketika ini berbanding 146,000 ahli pada Mei tahun lepas.

Menurutnya, Sarawak yang dahulunya mempunyai 57,000 ahli mencatatkan pertambahan kepada 78,000 ahli.

"Johor dari 39,000 ahli sekarang mempunyai 49,000 ahli. Perak dan Kedah juga bertambah seramai 10,000 ahli baharu. Kelantan merekodkan pencapaian tinggi luar biasa dengan pertambahan 11,000 ahli.

"Setakat ini Selangor masih mendahului keanggotaan paling ramai diikuti Sabah, Sarawak, Perak, Kedah dan Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, Cabang Hulu Selangor merupakan kawasan paling ramai keahlian iaitu 21,187 ahli manakala Kapar dan Puchong masing-masing seramai 19, 729 ahli dan 17,364 ahli.