Angkara bapa, datuk durjana

Hasron Nazri Hashim
Hasron Nazri Hashim
A
A
A

KAMPAR - Seorang pelajar tingkatan satu berdepan detik hitam dalam hidupnya apabila dijadikan pemuas nafsu kepada bapa kandung dan datuk sendiri.

Lebih menyedihkan, kegiatan sumbang mahram tersebut berlaku sejak mangsa berusia 8 tahun.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, kejadian sumbang mahram itu berlaku berulang kali di lokasi berbeza sekitar Malim Nawar.

Menurutnya, mangsa diperlakukan sedemikian sejak tahun 2013 sehingga berusia 13 tahun.

"Mangsa telah menceritakan kepada ibunya kerana terlepas cakap dan tidak tahan lagi menanggung tekanan. Setelah itu mangsa bersama ibunya yang berusia 31 tahun datang ke balai buat laporan polis.

"Mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk pemeriksaan dan kemudian menjalani pemeriksaan lanjut oleh Pakar Sakit Puan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Hasil pemeriksaan perubatan mendapati terdapat koyakan lama pada bahagian selaput dara mangsa.

Hasron berkata, berdasarkan laporan tersebut, kedua-dua suspek yang merupakan bapa dan datuk kandung mangsa ditahan reman bermula semalam sehingga 12 Januari untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Suspek yang berusia 39 dan 63 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.