Boeing 777 kekal jualan terbaik bagi pesawat badan lebar

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BOEING menerima lebih daripada 2,000 tempahan di bawah program pesawat Boeing 777, sekali gus mengekalkan status Boeing 777 sebagai jualan terbaik sepanjang zaman bagi jet badan lebar.

Pada Disember 2018, BOC Aviation serta beberapa pelanggan lain, membuat 17 pesanan untuk pesawat 777, ini meningkatkan jumlah keseluruhan pesanan kepada 51 tempahan bagi 2018 dan 2,013 sejak program ini dilancarkan.

Angka tersebut merangkumi model popular seperti pesawat penumpang 777-300ER (Extended Range), pesawat pengangkut jarak jauh 777 Freighter dan 777X yang akan datang.

"Di seluruh dunia, pesawat 777 terus mengujakan penumpang dan pada masa yang sama mewujudkan pertumbuhan yang menguntungkan kepada para pelanggan kami, ini diterjemahkan kepada permintaan yang semakin kukuh bagi pesawat tersebut, "kata Naib Presiden Kanan Jualan Komersial dan Pemasaran Boeing Company, Ihssane Mounir dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, keupayaan 777 yang sedia ada memberikan peralihan yang baik kepada 777X baharu, yang seterusnya akan melanjutkan lagi prestasi, ekonomi dan jarak model itu.

Sejumlah 620 pesawat 777 telah ditempah oleh para pelanggan dari rantau Asia Pasifik, termasuk 183 pesanan oleh syarikat penerbangan di Asia Tenggara.

"Gelombang penggantian pesawat badan lebar yang besar sedang menghampiri, Boeing 777 berada dalam kedudukan terbaik bagi membina penguasaannya dalam pasaran pesawat jarak jauh termasuk memberikan sokongan dalam menyambung rangkaian global," kata Mounir. - Bernama

Artikel Berkaitan: