'Kami hanya jalankan tugas halang Mizan Adli masuk dewan'

Keadaan kekecohan yang berlaku di Kongres Nasional AMK pagi tadi.
Keadaan kekecohan yang berlaku di Kongres Nasional AMK pagi tadi.
A
A
A

AYER KEROH - Skuad Keadilan kesal apabila pihaknya didakwa menjadi punca pertengkaran dan pergaduhan di luar dewan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) di MITC Melaka hari ini.

Ketua Skuad Keadilan, Gary Marimuthu menegaskan, tugas Skuad Keadilan adalah untuk mengawal keselamatan delegasi semasa berlangsungnya Kongres Nasional PKR ke-14.

Beliau berkata, insiden kekecohan pagi tadi bermula daripada penyokong Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham yang cuba membawa masuk bekas Pengerusi Tetap, Mizan Adli Mad Noor.

"Kami sekadar menjalankan tugas dengan menghalang beliau serta mereka yang tidak memiliki pas dan ia telah membuatkan sesetengah pihak tidak berpuas hati seterusnya memulakan pergaduhan.

"Saya kesal dengan kebiadaban beberapa anggota perwakilan yang telah menuding jari kepada pihak kami.

"Tindakan yang diambil itu bagi memastikan perjalanan Kongres Nasional AMK berlangsung di dalam dewan dapat berjalan dengan lancar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum itu, selain menghalang Mizan Adli dari memasuki tempat persidangan, pihak keselamatan turut cuba menghalang Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin dari memasuki kawasan berkenaan.

Ketika insiden itu berlaku, wakil Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin sedang mengumumkan pelantikan baharu bagi jawatan Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.

Artikel Berkaitan:

Pelantikan itu dibuat ekoran Mizan Adli dan Mohd Ramly Ahmad telah dilucutkan dari jawatan berkenaan.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan pertengkaran tercetus di luar Dewan Kongres AMK dan Wanita PKR di MITC di sini hari ini turut melibatkan kekasaran fizikal antara sayap pemuda dan pemerhati.

Pergaduhan itu difahamkan terjadi disebabkan ahli AMK tidak berpuas hati terhadap pemerhati yang memenuhi ruangan dewan sehingga menyebabkan perwakilan tidak dapat mengamati ucapan dasar pada program tersebut.

Difahamkan situasi tegang itu berlaku selepas ahli perwakilan AMK mendesak pemerhati segera balik memberi peluang kepada mereka untuk hadir pada kongres itu.

Berdasarkan video yang dimuat naik Sinar Harian, terdapat aksi jerit-menjerit menggunakan kata-kata kesat selain beberapa orang dilihat mula tolak menolak sesama mereka.

Tidak lama selepas itu, situasi bertukar menjadi ganas di mana beberapa orang telah bertumbuk dan telah menyebabkan seorang sayap AMK dan pemerhati mengalami kecederaan akibat dibaling batu.