'Lagu Negaraku sudah diwartakan, tidak boleh diubah'

Tular satu klip video yang memaparkan nyanyian lagu Negaraku oleh sekumpulan murid sekolah rendah dalam bahasa Mandarin. Gambar kecil: Dr Teo Kok Seong
Tular satu klip video yang memaparkan nyanyian lagu Negaraku oleh sekumpulan murid sekolah rendah dalam bahasa Mandarin. Gambar kecil: Dr Teo Kok Seong
A
A
A

SHAH ALAM - Lagu Negaraku tidak boleh diubah kerana ia telah diwartakan dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968, kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong.

Beliau berkata, lagu Negaraku yang menjadi lagu rasmi kebangsaan juga tidak boleh dipersendakan dalam apa jua bentuk.

"Lagu Negaraku adalah simbol penting kedaulatan negara dan ia telah diwartakan dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968.

"Ia diwartakan sedemikian rupa dan sama sekali tidak boleh diubah hatta lirik dan melodinya oleh mana- mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tular satu klip video yang memaparkan nyanyian lagu Negaraku oleh sekumpulan murid sekolah rendah dalam bahasa Mandarin.

Rakaman berdurasi 1 minit 23 saat itu memperlihatkan kira-kira 20 orang murid berdiri menyanyikan lagu Negaraku di dalam sebuah bilik darjah, namun liriknya telah diterjemahkan dalam bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan di mana kejadian itu berlaku.

Kok Seong berkata, sekiranya benar, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan pihak berkuasa perlu melakukan siasatan.

Artikel Berkaitan:

“Tindakan ini adalah anti nasional, bertentangan dengan kepentingan negara, iaitu lagu kebangsaan itu sendiri. Seakan ada penentangan dengan menukar lirik ke bahasa lain. Ini tidak sepatutnya berlaku

"Mereka yang berfikiran waras tidak akan sesekali menterjemahkan lagu kebangsaan itu yang asalnya adalah dalam bahasa Melayu," katanya.

Beliau turut menyarankan supaya Kementerian Pendidikan mengambil langkah awal menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang melakukannya.

“Barangkali murid-murid ini mungkin menjadi mangsa sahaja. Kemungkinan juga ia boleh diada-adakan oleh pihak yang sengaja mengeruhkan keadaan.

“Akhir-akhir ini, peristiwa yang boleh disifatkan sebagai anti nasional yang bertentangan dengan kepentingan negara kerap berlaku.

“Dalam dunia teknologi digital ini, banyak perkara yang tidak disangka-sangka boleh dilakukan,” katanya.