Hutang RM50.5 bilion 1MDB langsai 2039

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Hutang syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM50.5 bilion akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataannya berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan RM13.9 bilion untuk membiayai hutang-hutang 1MDB dan juga SRC International Sdn Bhd (SRC) sejak tahun 2017 sehingga 2020.

"Jumlah pembayaran RM13.9 bilion untuk 1MDB dan SRC yang dibuat kerajaan merupakan kerugian ditanggung oleh rakyat yang sepatutnya dibelanjakan demi kebajikan negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau memperbetulkan salah faham mengenai hutang luar negeri yang timbul di kalangan rakyat.

Katanya, hutang luar negeri adalah berbeza daripada hutang langsung kerajaan.

"Hutang luar negeri terdiri daripada pinjaman luar pesisir, deposit bukan pemastautin serta hutang individu, syarikat dan kerajaan yang dipegang oleh orang bukan pemastautin," katanya.

Menurutnya, hutang langsung kerajaan pula adalah hutang yang diterbitkan oleh kerajaan secara langsung.

"Seperti yang diterbitkan oleh Bank Negara, jumlah hutang luar negeri adalah sebanyak RM931.1 bilion pada akhir-Jun 2019," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, daripada nilai tersebut, hanya RM190.0 bilion merupakan hutang langsung kerajaan.

"Tambahan lagi sehingga akhir-Jun 2019, hutang langsung telah meningkat sebanyak RM94.1 bilion sejak Pakatan Harapan menerima mandat membentuk sebagai sebuah kerajaan.

"Jumlah RM94.1 bilion tersebut telah membiayai perbelanjaan pembangunan, defisit fiskal serta pembayaran balik hutang (termasuk hutang 1MDB).

"Ia jauh berbeza berbanding dakwaan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyatakan bahawa hutang langsung telah meningkat sebanyak RM245 bilion," katanya.