Kerajaan pintu belakang bukan ‘cara’ Muafakat Nasional

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kanan) bersama pimpinan UMNO pada upacara perasmian Himpunan Agung UMNO (PAU) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tiga dari kanan) bersama pimpinan UMNO pada upacara perasmian Himpunan Agung UMNO (PAU) 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Melalui Muafakat Nasional, UMNO dan Pas tidak mengimpikan perubahan kerajaan melalui pintu belakang yang kini dianggap sudah terbuka luas.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kini pintu depan dan pintu belakang terbuka, kedua-dua parti itu tetap memilih pintu hadapan.

“Kita akan bina kerajaan sendiri mengikut lunas-lunas demokrasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sementara kita bersiap menunggu PRU ke-15, banyak perkara perlu kita selaraskan dalam Muafakat Nasional,” katanya dalam ucapan pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019 (PAU 2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden MCA, Daruk Seri Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan barisan kepimpinan tertinggi UMNO.

Tegas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, ujian getir pertama bagi Muafakat Nasional hadir dalam bentuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

“Ia memberi banyak pengajaran kepada kita serta menjadi kayu pengukur kepada sokongan masyarakat Cina dan bukan Melayu, kepada Barisan Nasional (BN) dan Muafakat Nasional.

“​Kemenangan BN dengan majoriti besar 15,086 undi, bukti kesepakatan dalam Muafakat Nasional melangkaui bangsa dan fahaman politik.

Artikel Berkaitan:

“Ini juga bukti kita meraikan kepelbagaian pendapat sekali gus menafikan tohmahan bahawa gabungan dua parti Melayu terbesar ini adalah rasis dengan label Taliban,” katanya.

Mengimbau kembali tarikh termeterainya Piagam Muafakat Nasional pada 14 September lepas, Ahmad Zahid menyatakan dengan ketentuan ALLAH, akhirnya kerjasama itu dapat dipateri.

“Ini adalah tawaran baharu atau ‘new deal’ kepada rakyat dan bakal mencetuskan sejuta potensi yang belum pernah kita terfikir sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan dua budaya baharu politik modenisasi perlu diterapkan dan disemai dalam UMNO merangkumi Politik Ketahanan dan Politik Berimbang.

“Apa itu Politik Ketahanan? Ia bermaksud UMNO hendaklah memperkuatkan daya tahan dan daya juang, agar tidak mudah diurai oleh cabaran keduniaan atau sogokan.

“Sudah tentu, kita diasak, hingga kadangkala melemahkan semangat juang, malah ada yang sanggup menggadai maruah perjuangan. UMNO wajib merubah dirinya, supaya mampu membina sifat ‘ketahanan politik’,” katanya.

Jelasnya lagi, UMNO juga perlu mempraktikkan politik berimbang berasaskan prinsip perjuangan, keterbukaan dan perundingan selagi asas-asas Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial tidak dicabuli.