RM32 juta diperlukan Lang Merah harungi musim 2020

Mukhriz (duduk tengah) pada sidang media selepas Kongres KFA ke-44 di Wisma Darul Aman hari ini.
Mukhriz (duduk tengah) pada sidang media selepas Kongres KFA ke-44 di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak RM32 juta dianggarkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia dan Aksi Kelayakan Kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020.

Bagaimanapun, Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, persatuan akan berusaha berbelanja secara berhemah seperti musim ini apabila berjaya menjimatkan kira-kira RM3.9 juta berbanding anggaran RM30.4 juta.

"Beberapa langkah penjimatan kita cuba buat contohnya kos pengangkutan. Mana-mana perbelanjaan yang boleh kita kurangkan, kita akan buat dan seboleh-bolehnya kita tidak mahu berbelanja melebihi anggaran yang ditetapkan setiap tahun.

"Walaupun langkah penjimatan dilaksanakan namun Kedah tetap berjaya meraih Piala FA 2019, muncul Naib Juara Piala Malaysia 2019 dan berada di tangga keempat Liga Super 2019," katanya pada sidang media selepas Kongres KFA Kali ke-44 di Wisma Darul Aman hari ini.

Mukhriz berkata, dana yang besar perlu dicari kerana tanggungan KFA tidak tertumpu kepada pasukan utama Liga Super sahaja.

Menurutnya, persatuan itu turut mempunyai Pasukan Piala Presiden bawah 21 tahun, Pasukan Piala Belia bawah 19 tahun, Pasukan Lang Muda bawah 17 tahun dan bawah 14 tahun, pasukan bola sepak wanita, pasukan futsal lelaki dan wanita, pasukan bola sepak pantai serta program Kedah Kenari Kid.

"Berkenaan baki geran berjumlah RM 1.5 juta yang dijanjikan pembayarannya oleh MFL pada November masih belum diterima. Ini adalah penangguhan kali kedua yang asalnya dijanjikan pada Ogos 2019 tetapi ditangguhkan kepada November.

"Terkini, kita dimaklumkan perkara tersebut akan dibincangkan pula semasa Kongres Luarbiasa MFL pertengahan bulan ini. Kelewatan ini menimbulkan masalah kepada persatuan-persatuan bola sepak negeri serta kelab seperti KFA yang mempunyai dana terhad," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai penaja baharu bagi musim 2020 pula, Mukhriz berkata, pihak pengurusan tertinggi KFA kini berada di peringkat akhir perbincangan untuk mendapat beberapa tajaan rasmi.