Maszlee terima Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Shukutoku

Maszlee bergambar kenangan bersama Isooka (dua dari kiri), Hasegawa (kiri) dan Sakamoto (kanan) selepas Majlis Anugerah Ijazah Doktor Kehormat daripada Dr Hasegawa di Universiti Shukutoku di Chiba, Tokyo hari ini.
Maszlee bergambar kenangan bersama Isooka (dua dari kiri), Hasegawa (kiri) dan Sakamoto (kanan) selepas Majlis Anugerah Ijazah Doktor Kehormat daripada Dr Hasegawa di Universiti Shukutoku di Chiba, Tokyo hari ini.
A
A
A

TOKYO - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mencatat satu sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima Anugerah Ijazah Doktor Kehormat dari Universiti Shukutoku di Chiba dekat sini hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Canselor Universiti Shukutoku, Dr Hasegawa Masatoshi sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan Maszlee dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.

Turut sama menyaksikan majlis tersebut ialah Presiden Universiti Shukutoku, Profesor Isooka Tetsuya dan Datuk Bandar Itabashi, Sakamoto Takeshi.

Antara delegasi dari Malaysia yang turut sama ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZA), Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Dekan Fakulti Perubatan UniSZA, Profesor Dr Nordin Simbak.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin dan Professor Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS, Profesor Dr Mohd Dahlan A. Malek.

Universiti Shukutoku ditubuhkan kira-kira 100 tahun lalu itu bermula sebagai sebuah pusat pendidikan awal kanak-kanak.

Ia mendapat status sebagai universiti pada tahun 1965 dan kini telah mempunyai sebanyak tiga buah kampus yang menempatkan seramai 6,500 pelajar dan 260 orang tenaga pengajar.

Institusi pengajian tinggi di Jepun itu kini memberikan tumpuan dalam bidang kerja sosial, komuniti dan psikologi.

Artikel Berkaitan:

Maszlee kemudian diberikan penghormatan untuk menyampaikan syarahan perdana di hadapan pentadbir kanan, ahli akademi dan pelajar di universiti tersebut.

Dalam ucapannya, Maszlee berkata, beliau menerima anugerah itu bagi pihak kerajaan Malaysia.

“Dengan penghormatan ini, saya menerima anugerah ini bagi pihak Malaysia supaya dapat meningkatkan lagi hubungan dalam sektor pendidikan di antara kedua-dua negara,” katanya.

Delegasi dari Malaysia itu kemudian dibawa melawat ke sekitar kawasan kampus termasuk Kuil Daigaji yang sudah berusia 400 tahun.

Dengan penerimaan anugerah itu, Maszlee menamatkan lawatan kerja selama dua hari di negara matahari terbit itu.