'Tidak akan ada pertemuan berasingan di KL'

Nazree Yunus
Nazree Yunus
A
A
A

SHAH ALAM - Satu pertemuan membabitkan pemimpin dan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dikatakan berlangsung serentak dengan kongres parti itu tidak akan berlaku sejurus pertemuan positif antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nazree Yunus berkata, walaupun beliau sendiri mengesahkan pertemuan tersebut dijangka berlaku pada hujung minggu ini namun perbincangan antara Anwar dan Mohamad Azmin menunjukkan perkembangan sebaliknya.

"Seperti saya cakap semalam itu adalah sebelum perbincangan antara Presiden dan Timbalan Presiden, namun pertemuan ura-ura di Kuala Lumpur itu tidak akan berlaku sama sekali selepas memutuskan Mohamed Azmin merasmikan Kongres AMK dan Wanita PKR," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Nazree mengesahkan satu pertemuan berasingan bakal diadakan untuk ahli dan pemimpin PKR pada hujung minggu ini di Hotel Renaissance Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut perbincangan Anwar dan Mohamed Azmin itu, Nazree menjelaskan, ia merupakan satu petanda baik demi masa depan PKR sekali gus menepis dakwaan bahawa kepimpinan parti itu sedang bergolak.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua ahli PKR bersama-sama kepimpinan untuk terus bersama parti mengangkat idealisme reformasi demi kebaikan rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan: