Lokasi konvensyen tidak strategik, penganjuran 'ala kadar' dipertikai

Antara perwakilan yang hadir aktif mengemukakan soalan ketika sesi pembentangan dan pengesahan minit Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2018 sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 di sini hari ini. (Gambar kecil: Mohd Fadli Hassan)
Antara perwakilan yang hadir aktif mengemukakan soalan ketika sesi pembentangan dan pengesahan minit Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2018 sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 di sini hari ini. (Gambar kecil: Mohd Fadli Hassan)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa perwakilan Konvensyen Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional 2019 mempertikaikan keputusan pengurusan sayap parti itu mengadakan konvensyen di lokasi yang tidak strategik dan sikap penganjuran 'ala kadar'.

Keputusan itu juga dianggap menyusahkan sejumlah 402 perwakilan Pemuda Amanah yang hadir dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak kerana lokasi konvensyen terletak di kawasan sesak dan terlalu jauh.

Perwakilan Pemuda Amanah dari Melaka, Mohd Fadli Hassan, 35, berkata, pengurusan konvensyen juga tidak sewajarnya mengadakan mesyuarat agung tahunan seawal jam 8 pagi kerana keputusan itu memberi kesukaran kepada mereka tiba tepat pada masanya terutama perwakilan Sabah dan Sarawak.

"Dengan kedudukan lokasi konvensyen di Dewan Komuniti Batu Muda, Kampung Batu Muda yang sukar ditemui, jauh dan berdepan masalah kesesakan, pastinya perwakilan Pemuda Amanah yang duduk di jauh seperti Sabah dan Sarawak sukar untuk hadir tepat pada masanya.

"Saya minta selepas ini kepimpinan Pemuda Amanah Nasional lebih mengambil kira kepentingan perwakilan Pemuda Amanah yang tinggal jauh dengan penyediaan lokasi penganjuran konvensyen lebih strategik," katanya pada sesi pembentangan dan pengesahan minit Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2018 sempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 di sini hari ini.

Sentimen sama turut dikongsi seorang lagi perwakilan dari Kelantan, Saiful Syahrimi, 32, yang berpendapat Pemuda Amanah Nasional mampu menganjurkan konvensyen tahunan sayap parti itu di lokasi lebih baik pada tahun ini.

"Kepimpinan Pemuda Amanah Nasional perlu memikirkan keselesaan dan kepentingan perwakilan pemuda parti, lebih-lebih lagi parti itu kini sudah menjadi parti kerajaan," katanya.

Seorang lagi perwakilan dari Pontian, Mohd Noresham Kalyubi, 36, pula mempertikaikan aspek penganjuran konvensyen dilihat ala kadar selain pemilihan lokasi yang dirasai perlu lebih strategik.

Artikel Berkaitan:

"Kena datang jauh, kemudian bayaran RM200 juga dikenakan untuk sumbangan bagi menanggung perjalanan konvensyen.

"UMNO pun buat di PWTC sedangkan mereka pembangkang tapi kita kerajaan buat di sini (Dewan Komuniti Kampung Batu). Kenapa tidak di Putrajaya, tempat kita?," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikaikan menu makanan yang disediakan sepanjang dua hari Konvensyen Pemuda Amanah Nasional 2019 berlangsung sejak semalam yang dilihat sangat tidak wajar.

"Semalam makan 'mi bodoh', hari ini makan mi halus (bihun).

"Malah lebih mengecewakan apabila semalam turut diasingkan apabila kami hanya makan mi bodoh, manakala 'ada kawasan' makan nasi minyak," katanya berharap teguran itu tidak melemahkan sebaliknya dapat diambil positif oleh Pemuda Amanah.

Bagaimanapun, Pengarah Perbendaharaan Pemuda Amanah Nasional, Mohd Zuhan Mohd Zain menempelak tindakan perwakilan mempertikaikan keputusan pemilihan lokasi konvensyen sayap parti dan aspek penganjuran program itu.

Sebaliknya, beliau mencabar kesemua perwakilan Pemuda Amanah untuk membantu meningkatkan dana perbendaharaan sayap parti itu jika mengharapkan penganjuran konvensyen di lokasi lebih baik.

"Saya cabar semua perwakilan bantu tambah kantung dana perbendaharaan Pemuda Amanah, lepas itu kita janji akan anjur konvensyen sebelah PWTC (Putra World Trade Centre)," katanya.