X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Parlimen PH bebas berikan pendapat masing-masing

Anwar ketika wawancara eksklusif dengan Sinar Harian di Bangunan Parlimen di sini semalam. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) mengamalkan politik terbuka dan mereka diberikan kebebasan untuk menyatakan pendapat atau mengkritik.

Namun begitu katanya, kritikan sesama sendiri atau kepada pemimpin PH yang lain mestilah bertujuan memberi kebaikan kepada corak pentadbiran kerajaan PH.

"Kerana keterbukaan itulah rakyat mentafsirkan ahli Parlimen PH sering bertelagah sesama sendiri sedangkan ruang kebebasan dan demokrasi seluas-luasnya diberikan kepada mereka berbanding kerajaan dahulu," katanya kepada Sinar Harian dalam satu wawancara di bangunan Parlimen semalam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, kerajaan terdahulu tidak pernah dikritik kerana kesemua ahli Parlimen perlu mengikut cakap Ketua Whip mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, PH dari sudut dasar-dasarnya begitu kuat dan mempunyai ciri-ciri sama walaupun dalam mana-mana suasana dan transisi berlaku.

"Kerajaan dahulu tidak pernah dikritik. Dulu semua ikut (ketua) Whip (di Parlimen). Saya ingat lagi masa saya Timbalan Presiden UMNO, mana berani. Cakap sikit kena panggil.

"Sekarang semua seimbang berbanding yang lalu. Orang fikir kita banyak sangat kelemahan. Kita dalam PH, persamaan itu terlalu banyak, seperti ruang kebebasan umpamanya. Adakalanya orang tegur, ni Ahli Parlimen ni.. lepas.... (bebas bersuara).

"Itu dipanggil demokrasi...Kita akan beri ruang kebebasan (kepada mereka). Tetapi persepsi orang melihat 'berkecamuk mereka ini'," katanya.

Mengenai kerjasama parti pembangkang mampu memberi ancaman besar kepada kerajaan PH pada masa hadapan, Anwar menegaskan perkara itu masih terlalu awal kerana di sebalik kerjasama terjalin, kesemua parti masih mempunyai dukungan berbeza.

Bagaimanapun, beliau melihat kerjasama politik baharu mereka tidak menekankan nilai politik agama dan perkauman terlalu sempit, merupakan satu kemajuan.

"Terlalu awal (anggap kerjasama parti pembangkang boleh pergi jauh). Saya dalam Pakatan Rakyat (PR) lama. Saya masuk penjara lama. Mereka ada dukungan berbeza.

"Namun, pada rasional politik saya, agenda politik agama terlalu sempit dan perkauman itu dapat dikendurkan. Umpamanya Pas sokong Cina di Tanjung Piai. Itu bagi saya satu kemajuan. Sekurang-kurangnya rencana perkauman itu dapat dileraikan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!