'Salah jika ada agenda tertentu'

Abdul Rahim
Abdul Rahim
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak menjadi satu kesalahan perhimpunan memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hadyaai yang dihadiri hampir 400 individu termasuk bekas ahli kumpulan Parti Komunis Malaya (PKM) diadakan di Kajang baru-baru ini.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menegaskan, namun jika perhimpunan itu mempunyai agenda sebaliknya untuk menghidupkan semula fahaman komunis yang telah diharamkan sejak 1948 di negara ini maka ia adalah satu kesalahan.

Menurutnya, jika situasi itu berlaku tindakan tegas harus diambil oleh pihak yang berkenaan khususnya pihak polis.

“Tidak ada apa salahnya kalau mahu mengingatkan kembali peristiwa atau detik sejarah kerajaan kita menandatangani perjanjian damai ini di Bandar Hatyai di Thailand 30 tahun lalu.

“Orang kata sebagai tanda bersyukur selesainya masalah dengan komunis dan tidak ada tujuan lain hanya untuk bersyukur sahaja negara kita selamat,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Jelasnya, Rundingan Damai Hadyaai 1989 yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989 itu telah menamatkan isu pertentangan senjata yang dilancarkan oleh PKM sejak tahun 1948.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara yang dikhuatiri mengancam keamanan itu tidak boleh dibiarkan berlaku apatah lagi jika pertemuan itu cenderung untuk menghidupkan semula semangat komunisme di negara ini.

Muhyiddin berkata, polis dan Cawangan Khas telah diarah membuat siasatan bagaimana perhimpunan itu diadakan, apakah ia memerlukan kelulusan pihak berkuasa atau adakah ia telah melanggar mana-mana undang-undang yang diperuntukkan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, siasatan itu juga menjurus kepada tujuan sebenar perhimpunan itu sama ada semata-mata untuk memperingati ulang tahun ke-30 Rundingan Damai Hadyaai 1989 seperti didakwa atau ia satu usaha untuk menghidupkan semula semangat komunisme lampau.