HSA dibaik pulih tahun depan, titah Sultan Johor

Delegasi Menteri Kesihatan bergambar bersama Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail sebaik selepas pertemuan di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.
Delegasi Menteri Kesihatan bergambar bersama Sultan Ibrahim dan Tunku Ismail sebaik selepas pertemuan di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerja-kerja naik taraf dan menambah baik Hospital Sultanah Aminah (HSA) dijangka bermula tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar selepas pertemuan baginda bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.

Hadir sama pada pertemuan itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Ia membabitkan pendawaian bangunan utama yang sudah berusia lebih 70 tahun yang perlu ditambah baik dan kerja-kerja ini akan dimulakan tahun depan.

“Selain itu, lokasi tragedi kebakaran Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA yang terbakar pada Oktober 2016 juga akan diperbaiki,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah, pihaknya turut mencadangkan keperluan sebuah lagi hospital di Johor Bahru memandangkan terdapat peningkatan jumlah pesakit serta kesesakan di HSA.

“Saya mahukan perkhidmatan perubatan awam yang lebih baik untuk rakyat Johor,” katanya.

Pada pertemuan itu, Sultan Ibrahim turut berkesempatan berbincang mengenai perancangan Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor yang mahu menumpukan sepenuhnya kepada rawatan, penyelidikan dan pendidikan kanser.

Artikel Berkaitan:

“Wakil Asian American Medical Group (AAMG) yang menerajui projek ini mengutarakan keperluan lebih ramai bilangan pakar kanser bagi memberikan kualiti perkhidmatan terbaik.

“Pusat kanser ini juga adalah bagi merealisasikan impian Almarhum Tunku Abdul Jalil yang sentiasa mahu membantu pesakit kanser,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Tunku Ismail meluahkan rasa terkilan apabila melihat keadaan wad ICU HSA yang terbakar tiga tahun lalu seakan tiada usaha untuk dipulihkan malah masih terdapat kesan terbakar.