UniSZA, TMGH-IG jalin kerjasama dalam bidang perubatan geriatrik

Maszlee menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSZA yang diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Dekan Fakulti Perubatan, Profesor Dr Nordin Simbak manakala TMGH-IG pula diwakili oleh Presidennya, Profesor Dr Shunei Kyo dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Dr Kenji Toba di Itabashi City Hall, Tokyo.
Maszlee menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSZA yang diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Dekan Fakulti Perubatan, Profesor Dr Nordin Simbak manakala TMGH-IG pula diwakili oleh Presidennya, Profesor Dr Shunei Kyo dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Dr Kenji Toba di Itabashi City Hall, Tokyo.
A
A
A

TOKYO – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Hospital Geriatrik Metropolitan Tokyo-Institut Gerontologi (TMGH-IG), Tokyo, Japan menjalin kerjasama dalam bidang perubatan Geriatrik dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan di Itabashi City Hall di sini hari ini.

UniSZA diwakili oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dan Dekan Fakulti Perubatan, Profesor Dr Nordin Simbak.

TMGH-IG pula diwakili oleh Presidennya, Profesor Dr Shunei Kyo dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Dr Kenji Toba.

Majlis MoU itu turut disaksikan oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik sempena lawatan kerja selama dua hari ke negara matahari terbit itu.

TMGH-IG merupakan sebuah institusi yang terkenal dalam bidang rawatan golongan geriatrik dan aktiviti penyelidikan menangani fenomena ketuaan semenjak tahun 1972 dan telah diiktiraf pencapaiannya.

Sementara itu, UniSZA dijangka mengurus hospital pengajar sendiri pada tahun 2021 dan berhasrat menjadi satu hospital yang cemerlang dalam rawatan yang fokuskan rawatan 'patient-centered' dan penyelidikan klinikal.

Fakulti Perubatan UniSZA berhasrat menerajui bidang geriatrik serta onkologi radiasi sebagai antara bidang tujahan penyelidikannya.

Fakulti Perubatan UniSZA juga ingin menimba ilmu dan berkolaborasi dengan TMGH-IG dalam bidang gerontologi.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, Fakulti Perubatan UniSZA berhasrat mempunyai satu Pusat Penyelidikan Kesihatan Ketuaan dalam masa terdekat.

Ketuaan merupakan satu fenomena kehidupan yang dikaitkan dengan peningkatan jangka hayat menyebabkan penurunan dalam keupayaan fizikal dan mental yang seterusnya mengakibatkan peningkatan dalam perbelanjaan pengurusan sesebuah negara.

Antara tahun 2015 dan 2050, bilangan penduduk dunia yang berumur 65 tahun dan ke atas akan bertambah dua kali ganda dari 12 peratus kepada 22 peratus.

Malaysia mempunyai risiko yang tinggi menjadi negara 'Ageing population' apabila tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya berumur 65 tahun dan ke atas.

Sehingga tahun 2017, data menunjukkan yang Malaysia mempunyai dua juta atau 6.3 peratus penduduk yang berumur melebihi 60 tahun.

Pada tahun 2018, dianggarkan peratusan penduduk yang berumur melebihi 60 tahun menjadi 6.6 peratus.

Dalam tahun 2020, dijangkakan 2.4 juta daripada 34.3 juta penduduk Malaysia akan mencapai umur 60 tahun dan ke atas.

Peningkatan yang agak mendadak itu akan memberi tekanan dalam sosioekonomi dan kekurangan dalam guna tenaga kerja.

Perkara tersebut memerlukan kepada satu penyelesaian yang menyeluruh.

Negara Jepun sedang mengalami masyarakat 'super ageing' disebabkan peningkatan dalam jangka-hayat penduduknya.

Didapati 30 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya telah mencapai umur melebihi 60 tahun.