Jawatankuasa Perisikan Dewan keluar draf laporan inkuiri pemecatan Trump

Donald Trump - Foto AFP
Donald Trump - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Jawatankuasa Perisikan Dewan semalam mengeluarkan draf laporan berkaitan penemuan dalam inkuiri pemecatan terhadap Presiden Donald Trump sehari sebelum pendengaran kes itu di depan Jawatankuasa Kehakiman, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Laporan setebal 300 muka surat itu mendakwa Trump menyalahgunakan kuasanya ketika berurusan dengan Ukraine dalam usaha memberikan manfaat kepada kempen pemilihan semula beliau sebagai presiden pada 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Adam Schiff, Pengerusi Pemerhatian Carolyn Maloney dan Pengerusi Hal Ehwal Luar Eliot Engel dalam kenyataan berkata, Trump menjanjikan satu lawatan Rumah Putih yang menjadi rebutan dan bantuan kritikal ketenteraan AS yang diperlukan Ukraine untuk menentang musuhnya, Rusia.

Laporan itu ditulis oleh staf ketiga-tiga jawatankuasa Dewan Perwakilan.

"Akhirnya, terdapat bukti jelas bahawa selepas rancangannya untuk mendapatkan bantuan luar bagi kempen pemilihan semula beliau terbongkar, Presiden Trump telah terlibat dalam usaha bagi menutup salah lakunya," menurut anggota parlimen Parti Demokrat.

Jawatankuasa Perisikan Dewan akan menjalankan pengundian sama ada menerima pakai laporan itu sebelum mengusulkannya kepada Jawatankuasa Kehakiman yang akan mengadakan pendengaran pertama dalam inkuiri pemecatan Trump pada Rabu.

Kira-kira 12 saksi memberi keterangan bersumpah dalam pendengaran awam di depan Schiff.

Rumah Putih, dalam maklum balas pantas terhadap laporan itu berkata, Schiff dan anggota parlimen Parti Demokrat gagal mengemukakan bukti salah laku Trump selepas 'proses penipuan sebelah pihak' berakhir.

Artikel Berkaitan:

"Laporan ini tidak mencerminkan apa-apa selain kekecewaan mereka. Laporan pengerusi Schiff berbunyi seperti rungutan merewang seorang blogger murahan yang berusaha membuktikan sesuatu meskipun tiada bukti," kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih Stephanie Grisham dalam satu kenyataan.

Siasatan pemecatan itu berkisar kepada tindakan Trump yang berulang kali meminta Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky membuka kertas siasatan terhadap calon Parti Demokrat Joe Biden dan anak lelakinya, Hunter serta dakwaan bahawa Ukraine adalah negara yang campur tangan dalam pilihan raya presiden AS pada 2016, bukannya Rusia.

Turut menjadi isu ialah penangguhan bantuan ketenteraan sebanyak AS$400 juta kepada Ukraine di peringkat kongres dan sama ada Trump telah memberi syarat untuk meluluskan bantuan itu serta kemungkinan terdapat mesyuarat Pejabat Oval dengan Zelensky berhubung tindakan presiden Ukraine itu yang mengumumkan siasatan tersebut (terhadap Biden dan anaknya) secara terbuka.

Trump telah berulang kali menyelar siasatan pemecatan itu sebagai satu 'pemburuan ahli sihir' dan menafikan sebarang salah laku serta mengarahkan pegawai atasannya agar tidak melibatkan diri dalam prosiding tersebut. - Bernama