Jurutera rugi RM23,800 diperdaya 'Inspektor Khoo'

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Seorang jurutera sebuah syarikat minyak kerugian RM23,800 selepas memindahkan wangnya ke dalam akaun bank atas nama individu lain setelah diarahkan seorang lelaki yang kononnya pegawai polis.

Mangsa berusia 41 tahun itu berbuat demikian bagi mengelak akaun banknya dibekukan untuk siasatan selepas didakwa terbabit dengan kes langgar lari, pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, selepas memindahkan wang seperti diarahkan pegawai polis bernama Inspektor Khoo, mangsa mula curiga dan syak ditipu apabila pegawai berkenaan gagal dihubungi.

Menurutnya, selepas dua hari menunggu, mangsa tidak menerima sebarang maklumat terkini perkembangan status kesnya dan tampil membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

"Pada mulanya, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai mahkamah Kedah pada 27 November lalu.

"Mangsa dikatakan terlibat dengan satu kes langgar lari dan kes itu sudah dibawa ke Mahkamah Alor Setar. Dia dikehendaki hadir ke mahkamah itu dalam masa dua jam," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa menafikan dakwaan tersebut dan dia juga tidak dapat berada di mahkamah berkenaan dalam masa dua jam.

"Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada pihak lain (polis) untuk tindakan lanjut selepas mangsa tidak dapat hadir ke mahkamah pada masa ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa berurusan pula dengan seorang anggota polis menggunakan nama SM Zaidi untuk semakan status kesnya itu dan dia didapati turut dikehendaki berkait kes dadah serta pengubahan wang haram,"katanya.

Beliau berkata, selepas mangsa diarahkan supaya menyerahkan maklumat banknya untuk tujuan siasatan.

"Panggilan kemudian disambung kepada Inspektor Khoo yang mengendalikan kes tersebut dan mangsa diberi dua pilihan sama ada berdepan tindakan ditangkap atau akaun banknya dibekukan.

"Mangsa bersetuju untuk membuat bayaran bagi mengelak akaun banknya disekat dengan memindahkan RM23,800 dalam akaunnya ke akaun lain yang diberikan atas nama seorang lelaki sebelum tersedar ditipu," katanya.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.