Banjir: SKMM, syarikat telekomunikasi sedia lebih awal tahun hadapan

Al-Ishsal menyampaikan Piala Star Rating Award 2018 Kategori Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik kepada Celcom Axiata Berhad yang diwakili oleh Ketua Korporat Pengawalseliaan dan Pembangunan Masyarakatnya, Zuraida Jamaluddin di SKMM hari ini. -Foto Bernama
Al-Ishsal menyampaikan Piala Star Rating Award 2018 Kategori Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik kepada Celcom Axiata Berhad yang diwakili oleh Ketua Korporat Pengawalseliaan dan Pembangunan Masyarakatnya, Zuraida Jamaluddin di SKMM hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini merancang untuk bersedia lebih awal dalam aspek membantu pengurusan banjir pada tahun depan.

Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak berkata, bagi tahun ini, persiapan mereka bermula pada awal Oktober lepas.

“Untuk tahun hadapan, marilah kita membuat perancangan lebih awal pada suku ketiga atau sebelum memasuki suku keempat bagi melakukan persediaan termasuk melakukan senarai semak, latihan simulasi dan sebagainya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah ‘Star Rating’ 2018 di sini hari ini.

Selain penyebaran nasihat dan amaran banjir secara percuma melalui khidmat pesanan ringkas (SMS), SKMM dan syarikat telekomunikasi turut membantu menyumbang dalam penyediaan bot, kenderaan pacuan empat roda dan bantuan makanan kepada mangsa banjir di bawah program khidmat sosial.

Menurutnya, syarikat telekomunikasi telah bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan pengurusan banjir sejak tujuh minggu lepas, bagi menjalankan simulasi banjir secara mingguan bersama penduduk setempat di negeri yang dijangka terjejas banjir.

Buat masa ini katanya, tumpuan bantuan diberikan di negeri yang terlibat banjir iaitu Kelantan dan Terengganu dan SKMM serta syarikat telekomunikasi turut bersedia untuk menghulurkan bantuan di Sabah dan Sarawak yang dijangka menghadapi musim banjir awal tahun hadapan.

Sementara itu di majlis tersebut, Digi Telecommunications Sdn Bhd merangkul tiga daripada lapan anugerah yang dipertandingkan pada Anugerah Star Rating 2018 iaitu, kategori perkhidmatan selular iaitu Penyedia Perkhidmatan Selular Awam Terbaik (MNO), Kepuasan Pelanggan Terbaik dan Kualiti Perkhidmatan Terbaik.

XOX Com Sdn Bhd memenangi kategori Penyedia Perkhidmatan Rangkaian Maya Selular Terbaik (MVNO), manakala Celcom Axiata Berhad pula memenangi anugerah kategori Tanggungjawab Sosial Korporat Terbaik, bagi penglibatan cemerlang secara keseluruhan oleh syarikat itu dalam siri program tanggungjawab korporat sosialnya.

Artikel Berkaitan:

U Mobile Sdn Bhd pula memenangi kategori Kualiti Perkhidmatan Terbaik, Maxis Broadband Sdn Bhd dinobatkan sebagai pemenang untuk Pelaburan Rangkaian Terbaik dan Webe Digital Sdn Bhd memenangi kategori Pematuhan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 Terbaik.

Majlis Anugerah Star Rating 2018 turut menyaksikan pengenalan satu lagi kategori anugerah baharu iaitu Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Berbayar Terbaik (BAS), yang dimenangi oleh TT Dotcom Sdn Bhd.

Anugerah Star Rating adalah pengiktirafan kecemerlangan prestasi pihak penyedia telekomunikasi bagi tahun taksiran 2018 berdasarkan kepada empat parameter iaitu kepuasan pelanggan, kualiti perkhidmatan, pelaburan rangkaian dan pematuhan kepada Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. - Bernama