Beri tumpuan isu dalam PTPTN: Ameir

Ameir Hassan
Ameir Hassan
A
A
A

ALOR SETAR - Bersatu Perlis menggugurkan Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan daripada jawatan setiausaha parti negeri itu, berkuat kuasa hari ini.

Pengerusinya, Ameir Hassan berkata, keputusan itu dibuat untuk membolehkan Wan Saiful memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar dalam PTPTN.

Menurutnya, pengguguran itu tiada kaitan dengan masalah dalaman parti, mahupun kerana dikaitkan dengan isu peribadi.

“Biarlah Wan Saiful beri tumpuan kepada PTPTN, memegang jawatan itu pun sudah menyebabkan beliau sangat sibuk, tanggung jawab itu berat dan banyak kerja.

"Kita tak mahu bebankan dia,” katanya, ketika dihubungi.

Ameir berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat khas Bersatu Perlis.

“Surat pemakluman sudah dihantar kepada beliau menerusi WhatsApp dan emel. Secara rasminya, beliau akan tahu dengan sendirinya,” katanya.

Menurutnya, pengguguran itu tidak melanggar peraturan parti kerana kuasa melantik setiausaha adalah tertakluk pada pengerusi negeri.

Artikel Berkaitan:

“Tugas beliau akan dipangku pimpinan Bersatu negeri buat masa ini, sebelum lantikan baru dibuat,” katanya.

Mengulas dakwaan Wan Saiful berhubung pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu Perlis, Ameir berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk melakukan siasatan.

“Saya difahamkan, laporan polis itu dibuat lebih kurang dua bulan lepas terhadap salah seorang ahli Bersatu Perlis.

"Perkara itu sudah dibincangkan dalam mesyuarat dan kita putuskan kes itu diserah sepenuhnya kepada polis. Biarlah polis siasat sama ada ia benar atau tidak,” katanya.

Ameir turut menafikan penguguran Wan Saiful ada kaitan dengan tindakan beliau enggan menarik balik laporan polis berhubung kes berkenaan.