UTM buka bidaan jualan nombor plat khas hari ini

Anthony Loke melihat nombor pendaftaran kenderaan ketika gimik pelancaran Majlis Pembukaan Bidaan Nombor Pendaftaran Khas 'UTM' di Royal Widad, Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) malam ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Abd Halim Ali (kiri). - Foto Bernama
Anthony Loke melihat nombor pendaftaran kenderaan ketika gimik pelancaran Majlis Pembukaan Bidaan Nombor Pendaftaran Khas 'UTM' di Royal Widad, Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) malam ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tan Sri Abd Halim Ali (kiri). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul universiti awam pertama menyahut seruan kerajaan dengan membuka bidaan penjualan nombor pendaftaran khas ‘UTM’ bermula hari ini.

Naib Canselor UTM, Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, UTM antara universiti awam terawal mengemukakan permohonan bagi penjualan nombor pendaftaran khas bagi menjana dana untuk pembangunan universiti, penyelidikan dan membantu pelajar yang kurang berkemampuan.

“Sesi pertama bidaan nombor pendaftaran khas ‘UTM’ dibuka bermula hari ini sehingga 16 Disember bagi nombor pendaftaran bermula 1 hingga 9,999 sahaja.

“Mereka yang membida pada harga paling tinggi pada nombor yang dipilih akan diumumkan sebagai berjaya dalam proses itu,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran dan Pembukaan Bidaan Nombor Pendaftaran Khas ‘UTM’ di sini, malam ini yang dilancarkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Inisiatif penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei 2018 yang bersetuju membenarkan universiti awam menjana pendapatan melalui penjualan nombor plat khas menggunakan nama ringkas universiti masing-masing.

Terdahulu, Anthony Loke dalam ucapannya berkata, langkah UTM dan beberapa universiti awam lain (dalam menjual nombor pendaftaran khas) perlu diikuti oleh semua universiti awam bagi menjana pendapatan universiti masing-masing.

“Saya percaya ini langkah terbaik dalam membantu universiti menjana pendapatan. Mengikut dasar baharu kerajaan, semua nombor pendaftaran kerajaan hanya boleh dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan dan bukan lagi badan bukan kerajaan.

“Ia merupakan salah satu usaha kerajaan mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan di samping mendekati tuntutan dan harapan pelanggan yang sentiasa meningkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, hanya universiti awam yang dibenarkan menjual nombor pendaftaran khas itu dan setakat ini, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Utara Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia turut memulakan inisiatif tersebut

“Oleh itu, saya berharap staf, pelajar, alumni UTM dan seluruh masyarakat mengambil peluang memiliki nombor pendaftaran khas yang unik ini di samping membantu UTM dalam tujuan pengumpulan dana,” katanya.

Sistem bidaan itu terbuka kepada semua warganegara sama ada individu, agensi kerajaan, pelajar dan alumni UTM dan boleh dibida melalui Sistem UTMeBida di laman sesawang https://bida.utm.my.

Pada majlis sama, 43 pelajar UTM yang kurang berkemampuan turut menerima Biasiswa Endowmen UTM bagi tempoh akademik 2019/2020, antaranya Biasiswa Endowmen Merdeka, Biasiswa Endowmen Merdeka, dan Biasiswa Endowmen Alumni. - Bernama