Wanita kaki pukau ada 15 rekod jenayah 'tersungkur'

Mohd Said (dua dari kiri) menunjukkan gambar Zarulfekri Amran yang dicari polis bagi membantu siasatan.
Mohd Said (dua dari kiri) menunjukkan gambar Zarulfekri Amran yang dicari polis bagi membantu siasatan.
A
A
A

SEREMBAN – Polis berjaya menahan seorang wanita disyaki terlibat dengan kes tipu dipercayai menggunakan teknik pukau susulan aduan dua mangsa di daerah ini pada minggu lalu.

Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, wanita berusia 37 tahun itu ditahan pada jam 7 petang ketika mahu menaiki bas ke Pulau Pinang di Terminal 1 di sini pada Khamis lalu.

“Kes pertama pada 26 November lalu melibatkan seorang wanita warga emas berusia 63 tahun yang mendakwa dirinya menjadi mangsa pukau suspek apabila menyerahkan gelang tangan emasnya kepada suspek dengan mudah dalam kejadian di Kemayan Square di sini.

"Kes kedua pada 27 November pula melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun apabila gelang kaki dan rantai emas serta telefon bimbit dilarikan suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini hari ini.

Menurutnya, modus operandi digunakan suspek ialah mendekati mangsa dan beramah mesra sebelum memperdaya mangsa menyerahkan barang berharga.

Beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan terhadap suspek, polis menemui telefon bimbit milik mangsa yang dicuri dan turut merampas barangan lain seperti wang tunai bernilai RM1,200 dan resit pembelian emas.

“Suspek yang berasal dari Perlis turut didapati mempunyai 15 rekod jenayah lampau yang kebanyakannya kes tipu.

“Suspek kini direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut. Orang ramai yang pernah menjadi mangsa suspek tetapi tidak membuat laporan polis diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, polis juga kini sedang mengesan lelaki bernama Zarulfekri Amran berusia 27 tahun dengan alamat terakhir di Bandar Sri Permaisuri Cheras, Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.