Hubungan exco-SUK Perak baik: Nizar

Nizar
Nizar
A
A
A

IPOH - Hubungan di antara Exco Kerajaan Perak dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainal Azman Abu Seman yang ditukar secara mengejut amat baik.

Perkara itu diakui sendiri Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang turut terkejut dengan pertukaran Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu.

Menurutnya, kebanyakan Exco kerajaan negeri hanya mengetahui pertukaran itu melalui kumpulan WhatsApp yang diumumkan sendiri oleh Zainal Azman.

"Saya secara peribadi melihat Zainal Azman memberikan kerjasama baik kepada pentadbiran kerajaan. Malah dalam mesyuarat-mesyuarat Exco, beliau memberikan pelbagai cadangan jika terdapat isu-isu yang tidak dapat diselesaikan.

"Kita tidak tahu apa punca beliau ditukar secara mengejut. Jadi kita tunggu penjelasan menteri besar pada mesyuarat Exco pada Rabu ini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pertukaran mengejut Zainal Azman ke ke Jawatan Penempatan Khas di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mulai 1 Disember 2019.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/59988/EDISI/Perak/Zainal-Azman-sah-bertukar]

Mohammad Nizar berkata, Zainal Azman merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak yang memberi kerjasama amat baik kepada kerajaan berdasarkan pengalaman bekerja dengan tiga Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pentadbiran kerajaan tidak jejas dengan ketiadaan Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri kerana kedua-dua jawatan itu dipangku oleh timbalan masing-masing.

Menurutnya, pentadbiran kerajaan negeri akan terus berjalan seperti biasa tanpa sebarang masalah.