HPPNK 2019 capai sasaran

Salahuddin (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di antara Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (kiri) dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Omar Salleh pada Majlis Penutupan HPPNK 2019 semalam. -FOTO ZAHID IZZANI
Salahuddin (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman di antara Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (kiri) dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Omar Salleh pada Majlis Penutupan HPPNK 2019 semalam. -FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

JOHOR BAHRU - Hari Peladang, Penternak dan Peladang Kebangsaan (HPPNK) 2019 yang melabuhkan tirai semalam selepas empat hari berlangsung berjaya mencapai sasaran nilai jualan.

Ekspo bertemakan Makanan Kita Masa Depan Kita itu mencatatkan jualan tunai dan memorandum persefahaman (MoU) berjumlah RM30 juta dengan kehadiran 500,000 pengunjung.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, HPPNK 2019 disifatkan penganjuran paling berprestij di peringkat kementerian dengan penyertaan seramai 350 usahawan di kalangan peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara.

Menurutnya, pihak kementerian komited melalui pelbagai inisiatif untuk menjadikan sektor pertanian sebagai sumber kekayaan dengan pulangan lumayan kepada golongan tersebut.

“Anda semua adalah wira negara dan hero yang sangat penting. Bukan ilusi atau mimpi tapi realitinya produk kita sudah menembusi pasaran antarabangsa seperti perindustrian nanas di Johor.

“Tinjauan saya ke gerai jualan mendapati lebih 70 peratus adalah usahawan muda. Pemain dan pemilik ternakan lembu sado juga daripada kalangan mereka berusia kurang 40 tahun.

“Ini membuktikan bahawa anak muda telah menjadikan profesion dalam pertanian sebagai sumber rezeki dan kekayaan. Maka kementerian akan terus bantu golongan ini,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan HPPNK 2019 di Angsana Johor Bahru Mall di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi dan pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salim Parlan.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Ezri (tengah) di reruai Agro Belia sempena HPPNK 2019. -FOTO ZAHID IZZANI
Mohamad Ezri (tengah) di reruai Agro Belia sempena HPPNK 2019. -FOTO ZAHID IZZANI

Turut serta, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Haslina Abdul Hamid serta Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman.

HPPNK 2019 menampilkan enam kluster aktiviti iaitu makanan dan minuman, gaya hidup, kesejahteraan, hasil pertanian, agro teknologi dan pembangunan modal insan.

Sementar iu, pameran Agro Belia menerima kunjungan seramai 2,500 anak muda dari pelbagai latar belakang untuk mendapatkan maklumat berkaitan bantuan geran dan pembiayaan perniagaan.

Ruang pameran disertai tiga agensi iaitu Unit Agroprenuer Muda, Kemahiran Pertanian dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dengan pelbagai aktiviti disediakan kepada pengunjung.

Pengarah Unit Agroprenuer Muda, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Mohamad Ezri Shamsuddin berkata, pihaknya turut menampilkan beberapa ikon usahawan yang merupakan penerima geran dan pembiayaan agropreneur muda.

Menurutnya, seramai 5,449 usahawan muda menerima bantuan melalui geran agropreneur muda, pembiayaan Agrobank dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN ) Nasional sejak 2016 hingga Oktober tahun ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 5,397 orang ialah penerima geran agropreneur muda berjumlah RM91.8 juta.

“Bagi tahun 2020, kementerian memperuntukkan geran berjumlah RM20 juta dan permohonan dibuka mengikut tiga fasa selama sebulan.

“Fasa pertama pada Januari dan fasa kedua pada Mei serta seterusnya September. Bantuan geran agropreneur muda dalam bentuk barangan bagi mempertingkatkan produktiviti usahawan,” katanya.