Anbalagan (dua dari kiri) bersama pegawai penyiasat menunjukkan dadah dan bengkung yang digunakan suspek.
A
A

BALIK PULAU - Gerak-geri mencurigakan seorang lelaki warga China ketika pemeriksaan di Bahagian Pengimbas Terminal Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) akhirnya terbongkar apabila polis menemui enam bungkus dadah dilekat di bahagian pinggangnya.

Dalam kejadian jam 10.10 pagi Sabtu lalu, lelaki berusia 44 tahun itu dikatakan membalut enam bungkusan dadah jenis heroin yang belum diproses (heroin base) seberat 2,313 gram di pinggangnya menggunakan pita pelekat sebelum ditutup dengan bengkung.

Bagaimanapun, ia berjaya dikesan menyebabkan suspek gagal meneruskan penerbangannya ke Hong Kong dan membawa keluar dadah berkenaan apabila ditahan anggota polis bantuan di LTAPP.

Ketua Polis Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan sanggup menjadi keldai dadah semata-mata mahu mengumpul wang bagi menyelesaikan hutangnya.

"Ketika mahu diperiksa, lelaki berkenaan kelihatan gelabah dan tidak keruan sebelum polis berjaya menemukan enam ketulan mampat dadah yang disorok di pinggangnya.

"Polis turut merampas beg yang dibawa lelaki berkenaan dan wang tunai termasuk Dolar Hong Kong dan Yuan China berjumlah RM1,181," katanya pada sidang media di sini.

Anbalagan berkata, dadah yang dirampas itu boleh diproses sebanyak 5.4 kilogram heroin dan digunakan oleh 54,000 penagih.

Katanya, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas bernilai RM215,000 dan suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadag Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati mandatori," katanya.